suria

Isu PFN: Rafizi Akui Silap Fakta

PETALING JAYA: Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli berkata, Farmhouse Supermarket Pte Ltd yang didakwanya mempunyai kaintan dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil akan beroperasi di Rochester Mall dan bukannya kompleks membeli belah Star Vista seperti yang didedahkannya pada Selasa.

Selain itu Mohd Rafizi turut memohon maaf secara terbuka kepada pihak pemaju kompleks membeli belah Star Vista iaitu Capital Mall terhadap kesilapan dakwaannya itu.

"Saya dimaklumkan mengenai penafian oleh CapitalMall bahawa kompleks membeli belah Star Vista yang sedang dimajukan tidak mempunyai apa-apa hubungan dengan Farmhouse Supermarket Pte Ltd yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat.

"Saya memandang berat kesilapan ini dan semakan pada pagi ini mendapati bahawa Farmhouse Supermarket akan beroperasi di Rochester Mall bersebelahan dengan Star Vista.

"Saya memohon maaf secara terbuka kepada CapitalMall atas kesilapan fakta yang berlaku, walaupun ia tidak memadamkan pelbagai persoalan yang timbul mengenai pembabitan PFN di dalam operasi pasaraya mewah di Singapura," katanya menerusi satu kenyataan di sini, Rabu.

Pada Selasa, Mohd Rafizi membuat pendedahan terbaru mengenai dakwaan penyalahgunaan dana berjumlah RM250 juta oleh Perbadanan Fidlot Nasional (PFN) bagi tujuan perniagaan pasaraya mewah di Singapura.

Menurut beliau lagi, berdasarkan semakan di laman web rasmi Rochester Mall mengesahkan bahawa Farmhouse Supermarket adalah penyewa terbesar di tingkat dua pusat membeli belah berkenaan.

"Saya juga berpendapat oleh kerana lokasi Rochester Mall adalah bersebelahan dengan Star Vista, anggaran sewa seperti yang didasarkan kepada laporan Competition Commission of Singapore tidaklah banyak berbeza.

"Oleh yang demikian, saya percaya selain dari kesilapan alamat sebenar kompleks seperti yang saya sebutkan, keseluruhan pendedahan yang dibuat semalam adalah tepat," katanya.

Artikel Lain