CEO PUNB: Khalid Dakwa KJ Dilantik Atas Kapasiti Ahli Politik - Semasa | mStar

CEO PUNB: Khalid Dakwa KJ Dilantik Atas Kapasiti Ahli Politik

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pelantikan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin sebagai Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) jelas menunjukkan kepentingan politik menjadi kriteria utama dalam pelantikannya ke jawatan tertinggi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tersebut.

Abdul Khalid yang juga merupakan bekas pengasas PUNB (sebuah syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad) menyifatkan pelantikan Khairy dibuat bukan berdasarkan kemampuan dan pengalaman.

Sebaliknya, beliau berkata dengan pengalamannya yang pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, pada kebiasannya ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan terdiri daripada golongan profesional yang berpengalaman, tidak mempunyai kepentingan atau kumpulan berkaitan dengan politik.

"Saya berbangga dengan pencapaian PUNB yang selama ini diterajui profesional yang berkebolehan.

"Pelantikan Khairy ini jelas menunjukkan fahaman politik menjadi kriteria utama untuk dilantik ke jawatan tertinggi dan bukannya berdasarkan kemampuan dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada Rabu.

The Business Times pada Selasa melaporkan Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau akan mengetuai PUNB yang diamanahkan untuk membangunkan usahawan Bumiputera dalam perniagaan stategik dan berpotensi tinggi dalam syarikat terbabit.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel