suria

Tegas Akan Bantu Anak Bumiputera Rebut Peluang Kerja Dalam SCORE - Taib Mahmud

KUCHING: Kerajaan Sarawak pada Selasa melancarkan Tabung Gagasan Ekonomi Anak (Bumiputera) Sarawak (Tegas) bagi membantu golongan itu merebut peluang pekerjaan bidang teknikal yang dapat memberi pendapatan tinggi.

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata lebih banyak peluang pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknikal akan wujud apabila Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dilaksanakan sepenuhnya dalam masa 20 tahun akan datang.

"Untuk mendapat peluang pekerjaan baik, perlu perlengkap anak-anak dengan kemahiran sesuai dengan upah yang cukup tinggi bagi industri berasas teknikal khasnya di SCORE.

"Kita sasar 50,000 tenaga kerja yang memiliki sijil dan diploma dalam setahun ke dua tahun dan ia akan mencapai suku juta 20 tahun lagi," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Tegas, di sini Selasa.

Tegas merupakan penjenamaan semula Tabung Aman Bumiputera yang diletak di bawah Pejabat Ketua Menteri.

Taib berkata sejak dilancarkan dua tahun lepas, SCORE berjaya menarik pelaburan bernilai RM32 bilion dan kebanyakannya dalam bidang industri berat yang berasaskan kemahiran teknikal.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM5 juta untuk program promosi Tegas.

Sementara itu, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datuk Len Talif Salleh yang mempengerusikan Tegas, berkata tabung itu memainkan peranan mentransformasikan ekonomi bumiputera menerusi pengukuhan pendidikan serta pembinaan keupayaan.

"Tegas ditubuhkan untuk mempromosikan bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional khasnya untuk pelajar di kawasan luar bandar, sekali gus menjadikan bidang tersebut bidang utama dan bukan sebagai pilihan kedua seperti sebelum ini," katanya dalam ucapan aluan.

Beliau berkata Tegas mensasarkan golongan yang menguasai tahap literasi dan numerasi minimum, berumur antara 16 tahun dan 45 tahun selain lepasan sekolah, lepasan universiti yang menganggur dan pelajar sekolah yang berbakat.

Tegas cuba mengupayakan golongan yang dianggap terpinggir untuk menjadi modal insan berkualiti khasnya dalam SCORE yang memerlukan 226,493 tenaga kerja kategori profesional, separuh profesional, kumpulan sokongan dan pekerja am menjelang tahun 2015, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain