'Saya Rela Undur Untuk Selamatkan Perjuangan PKR' - Badrulamin - Semasa | mStar

'Saya Rela Undur Untuk Selamatkan Perjuangan PKR' - Badrulamin

KUANTAN: "Saya rela berundur sekiranya pengunduran itu boleh menyelamatkan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR)," kata Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PKR Dr Badrulamin Bahron.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas berhubung tindakan yang mungkin diambilnya selepas didakwa terbabit dalam kes khalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Balok, Sabtu lepas.

Katanya kejadian itu hanya melibatkan dirinya seorang dan tidak ada kena-mengena dengan parti dan oleh itu beliau mahu menanggungnya sendiri dengan mengambil pendekatan berundur dari parti.

"Walaupun belum didapati bersalah atau tidak didapati bersalah pun, saya dah fikirkan tidak akan libatkan sesiapa pun dalam hal ini dan biar saya tanggung sendiri dan sedang menimbang untuk berehat dari jawatan baik dalam parti dan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Pejabat Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu.

Dr Badrulamin berkata cadangan Pejabat PKR Selangor supaya beliau bercuti sebulan bagi menyelesaikan kes itu disambut baik olehnya kerana tidak mahu parti turut merasa tempias daripada kes itu.

Terdahulu, Dr Badrulamin yang berjaket hitam dan berkopiah coklat ditemani isterinya Zumrah Husni serta tiga peguamnya iaitu Muhammad Sazali Abdul Aziz, Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Irfan Abdullah, untuk memberi keterangan lebih dua jam kepada pihak JAIP.

Sementara itu, wanita yang dipercayai berkhalwat dengan Dr Badrulamin tiba di pejabat Jaip pada pukul 3.05 petang dengan menaiki sebuah kereta Perodua Alza ditemani seorang lelaki dan seorang wanita.

Wanita 28 tahun itu memakai baju kurung dan bertudung kuning dilihat keluar meninggalkan pejabat Jaip pukul 6.20 petang.

Dr Badrulamin berkata beliau mengenali wanita tersebut dan suaminya sejak setahun lepas di mana beliau sekeluarga dan keluarga wanita itu pernah mengerjakan umrah bersama-sama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jaip Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz ketika dihubungi berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai keterangan Dr Badrulamin setakat ini kerana sedang bertugas di luar daerah.

Sebelum itu, Mohd Ghazali dilaporkan berkata Badrulamin diminta tampil memberi keterangan dalam proses siasatan terhadap kes itu.

"Ia merupakan prosedur biasa dalam kes seperti itu dan disiasat mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982," katanya.

Menurut laporan media, Badrulamin ditangkap bersama wanita itu yang bekerja sebagai seorang juruteknik di sebuah kolej.

Bagaimanapun Badrulamin dilaporkan menafikan beliau telah ditangkap berkhalwat serta mendakwa insiden itu adalah tindakan terancang untuk memerangkap serta mengaibkannya.

Beliau juga mendakwa dipukul lebih kurang 20 lelaki "ala samseng" pada pagi kejadian. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pihak polis sehingga kini masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian Badrulamin dipukul. - BERNAMA

Artikel Sebelum

'Saya Hanya Ingin Bantu Mereka' - Badrulamin

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Merangsang Korporat Malaysia, PNB rangka strategi bersama pemimpin korporat kukuhkan ekonomi negara

SEJAJAR usaha Malaysia untuk menjadi kuasa ekonomi, adalah tepat pada masanya bagi sektor korporat negara meninjau ke arah langkah-langkah perubahan.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

UMP terajui usaha perkasa TVET di negara ini

SELEPAS 17 tahun ditubuhkan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini merupakan salah satu universiti utama di negara ini yang menawarkan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di peringkat tinggi.

Artikel Lain