suria

Remaja Dibakar Tiada Kaitan Dengan Along

KUALA LUMPUR: Polis menafikan Muhammad Syahirudin Mohd Shauki yang melecur akibat dibakar di ladang kelapa sawit di Sungai Tengi Gedangsa, Hulu Selangor semalam mempunyai kaitan dengan peminjam wang haram along.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Norel Azmi Yahya Afendy berkata, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

"Siasatan kita tidak menjurus ke arah kegiatan mangsa meminjam wang daripada ceti haram itu, sebaliknya kita memfokuskan aspek lain.

"Polis kini sedang mengesan rakan-rakan mangsa yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini bagi membantu siasatan kes," katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar bahawa Muhammad Syahirudin dibakar dan mengalami kelecuran 80 peratus anggota badan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan peminjaman wang haram.

Katanya, mangsa yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh, kini dilaporkan stabil, namun tidak boleh berkomunikasi untuk memberi maklumat kepada polis. - BERNAMA

Artikel Lain