suria

PAS Terbuka Kepada Pemimpin Bukan Islam Jika Ada Keperluan

SHAH ALAM: PAS sedia menerima bukan Islam untuk menduduki jawatan tertinggi dalam parti itu, sehingga ke peringkat Timbalan Presiden, jika ada keperluan, kata Anggota Majlis Tertinggi PAS, Dzulkefly Ahmad.

Anggota Parlimen Kuala Selangor itu percaya perkara itu tidak mustahil memandangkan ia boleh menangani perubahan dalam pembaharuan intelektual dan tahan terhadap cabaran semasa.

"Mungkin belum ada keperluan untuk perkara ini sekarang, tetapi kalau sudah diutarakan, kami bersedia berbincang perkara ini dalam Muktamar PAS.

"Bagaimanapun, ini bergantung kepada keperluan parti," katanya pada sidang akhbar selepas mengambil bahagian dalam forum bertajuk 'Mengapa Undi Melayu Pecah' di Kompleks Karangkraf di sini Selasa.

Pada forum itu, perantara Dr Maszlee Malik, seorang pensyarah dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA), bertanyakan Dzulkefly sama ada PAS bersedia menuruti jejak Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) di Mesir, iaitu sayap politik Muslim Brotherhood, yang melantik intelek Coptic Christian Rafiq Habib sebagai Naib Presidennya.

Pada forum itu juga, bekas Presiden MCA yang juga Anggota Parlimen Pandan, Datuk Seri Ong Tee Keat berpandangan bahawa kaum lain tidak akan mengambil kesempatan walaupun berlakunya pecahan undi di kalangan Melayu.

"Kita kena lihat perkara ini dari sudut keMalaysiaan di mana bila undi sesebuah masyarakat itu pecah, tidak bermaksud kaum lain akan ambil kesempatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain