suria

Najib Puji Usaha Pemudah Dalam Meningkatkan Persekitaran Perniagaan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memuji usaha Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) dalam meningkatkan persekitaran perniagaan di Malaysia dan membantu memacu negara ketika ekonomi dunia kini tidak bergerak, malah ada ekonomi yang mencatat penurunan.

Ini katanya dilakukan seiring langkah-langkah berani dan bercita-cita tinggi kerajaan menerusi Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi dan Inisiatif Reformasi Strategi Negara.

"Anggota Pemudah sudah lima tahun berusaha meningkatkan persekitaran perniagaan di Malaysia, dan saya ingin memberi jaminan bahawa segala sumbangan anda, biar sekecil mana pun, dihargai," kata Najib dalam ucapan pada majlis pelancaran Laporan Tahunan Pemudah 2011, di sini malam Isnin.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata sekarang bukan masanya untuk berada dalam zon selamat memandangkan masalah fiskal terus berlaku di zon euro, sebahagian besar negara di Timur Tengah masih dibelenggu masalah sosial dan krisis politik serta kebimbangan yang semakin meningkat bahawa ekonomi China yang selama ini maju, menunju hari-hari suramnya akibat kemelesetan dunia.

"Walaupun kita perlu berwaspada terhadap persekitaran luaran, kita tidak boleh membiarkan diri kita terganggu daripada memenuhi cabaran di dalam negara.

"Berdasarkan ekonomi kita berdaya pulih yang baik, kita harus memastikan Malaysia menyediakan persekitaran perniagaan yang menarik untuk menarik pelabur luar dan pelaburan tempatan.

Najib berkata sasaran yang beliau usahakan, termasuk pendapatan perkapita sekurang-kurangnya US$15,000 menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai tempatan di mana setiap rakyat bukan sahaja memiliki akses kepada keperluan asas yang baik, malah keluarga berpeluang dan keupayaan untuk mengejar impian dalam negara yang bersih dan berhubung, boleh dicapai kerana ia dalam keupayaan kita.

Beliau berkata halangan pasti wujud dalam ucaha untuk memperoleh kejayaan, namun ia boleh diperoleh jika setiap orang bekerja sebagai 1Malaysia, 1Pemudah, sektor awam dan swasta bekerja bersama-sama dan terangkum.

Pemudah sudah mengubah kaedah konvensional, "kita berbanding mereka (sektor swasta)" yang kini menjadi "kami" menerusi sektor awam-swasta, katanya. Najib juga berkata: "kita bukan sahaja berusaha untuk meningkatkan prestasi, malah mencatat lonjakan besar."

Perdana Menteri berkata usaha Pemudah untuk meneraju Malaysia sehingga menduduki tangga ke-18 dalam laporan Doing Business World Bank mengatasi Jerman, Perancis dan Jepun, bukan pencapaian yang kecil, malah sangat besar. - BERNAMA

Artikel Lain