suria

Najib Perlu Beri Penjelasan Tidak Lantik Syarikat Felda Teraju PFN - PKR

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penjelasan kepada warga Felda mengapa Felda Farm Products Sdn Bhd tidak dilantik menerajui Perbadanan Fidlot Nasional (PFN).

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, sebagai individu yang bertanggungjawab menganugerahkan kontrak ini kepada Agroscience Industries Sdn Bhd, syarikat yang didakwa tidak berjaya memenuhi sasaran dan menyelewengkan wang bagi tujuan lain, Najib harus memikul tanggungjawab dan tidak boleh berdiam diri.

"Umum sedia maklum bahawa Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini menimbulkan persoalan bagaimana sebuah projek berstatus nasional yang dikategorikan sebagai “projek berimpak tinggi” dengan peruntukan melebihi RM300 juta boleh diberikan kepada sebuah syarikat yang tidak berpengalaman," katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Justeru, sebagai penerangan kepada warga Felda berhubung isu ini, beliau mendesak supaya semua minit mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN yang dipengerusikan Najib didedahkan serta-merta.

"Perkara ini sudah tentu akan terus mengheret Datuk Seri Najib kecualilah beliau mendedahkan kesemua minit mesyuarat yang dipengerusikan beliau," katanya.

Menurut Rafizi, semakan awal yang dibuat menunjukkan Felda Farm Product Sdn Bhd mempunyai saiz kapital, pengurusan dan rekod industri serta menjadi syarikat paling berdaya maju dan berpengalaman di antara enam syarikat yang membentangkan cadangan projek tersebut.

Katanya, Felda Farm Products Sdn Bhd juga merupakan satu-satunya syarikat yang mempunyai operasi sedekad sebelum PFN dirancang, berbeza dengan syarikat-syarikat lain termasuklah Agroscience Industries Sdn Bhd yang hanya ditubuhkan setahun sebelum kontrak dianugerahkan.

"Kenapa beliau mengenepikan warga Felda sedangkan mereka lebih layak dan berpengalaman.

"Apakah kriteria yang digunapakai sehinggakan Felda Farm Products Sdn Bhd diketepikan berbanding Agroscience Industries Sdn Bhd yang tidak mempunyai pengalaman?," katanya.

Beliau berkata terdapat pertimbangan yang tidak telus kerana mendakwa lantikan Agroscience Industries Sdn Bhd mengenepikan pertimbangan asas kewangan dan pengalaman, yang memihak kepada Felda Farm Products Sdn Bhd.

"Dari segi impak nasionalnya pula, Felda mempunyai rancangan tanah yang besar dan peneroka-peneroka boleh dilatih menjadi penternak berjaya untuk meningkatkan lagi hasil pendapatan mereka, selain tanaman kelapa sawit," menurut kenyataan tersebut.

Pada 31 Oktober 2011 Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menerangkan di Dewan Rakyat bahawa hanya enam syarikat yang membentangkan cadangan projek kepada Jawatankuasa Pemilihan Syarikat Peneraju Bagi Projek PFN pada 25 September 2006 yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Enam syarikat tersebut termasuklah Felda Farm Product Sdn Bhd, Group Five Bonsmara Breeding Centre Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd, Lamberts Agriculture Trade (M) Sdn Bhd (syarikat dari Australia), MIG Farm Sdn Bhd dan MLC Industries Sdn Bhd.

"Mesyuarat jawatankuasa telah memilih syarikat Agroscience Industries Sdn Bhd dan juga Lamberts Agriculture Trade (M) Sdn Bhd yang mana Lamberts diberikan 500 ekar dan Agro Science diberi sebanyak 5,000 ekar," memetik kenyataan Noh Omar.

Agroscience Industries Sdn Bhd merupakan syarikat milik suami dan anak-anak Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata Najib wajib memikul tanggungjawab dan tindakan menolak isu ini kepada Shahrizat semata-mata membayangkan beliau seorang ahli politik Umno yang pentingkan diri.

Artikel Lain