suria

Kes Khalwat Badrulamin: Polis Belum Terima Laporan Dipukul

KUANTAN: Polis hanya menerima laporan daripada Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) berhubung tangkapan khalwat Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr Badrulamin Bahron.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata setakat ini tiada sebarang laporan yang dibuat oleh Badrulamin berhubung dakwaan beliau dipukul ketika tangkapan itu.

Polis menerima laporan tangkapan khalwat terhadap individu terbabit yang dibuat Jaip pada 25 Feb lepas, yang dibuat di Balai Polis Beserah di sini pada 10.28 pagi, katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan, di sini Selasa.

Beliau ditanya sama ada polis ada menerima laporan daripada Badrulamin, yang dilapor media sebagai mendakwa dipukul sekumpulan 20 lelaki yang menyerbu bilik hotelnya sebelum ditangkap atas dakwaan berkhalwat dengan isteri orang.

Mengulas lanjut, Mohd Jasmani berkata polis akan melakukan siasatan berdasarkan laporan yang diterima. - BERNAMA

Artikel Lain