suria

Kerajaan Bantah Permohonan Semakan Semula Kehakiman Berkaitan Lesen Lynas

KUALA LUMPUR: Kerajaan pada Selasa membantah permohonan semakan semula kehakiman yang difailkan penduduk tempatan untuk mencabar keputusan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) memberi lesen sementara kepada Lynas Malaysia Sdn Bhd untuk pengoperasian Lynas Advanced Material Plant di Gebeng, Pahang.

Pendengaran bantahan awal kerajaan itu diadakan secara dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rohana Yusuf.

Pada 17 Feb, sekumpulan 10 penduduk memfailkan permohonan itu dengan menamakan LPTA, yang mengendalikan pengeluaran, permohonan dan penggunaan tenaga atom serta bahan radioaktif dan Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar dan Lynas Malaysia Sdn Bhd sebagai responden.

Mereka memohon perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan LPTA pada 30 Jan memberi lesen sementara kepada Lynas Malaysia.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, yang mewakili LPTA dan ketua pengarah itu memberitahu pemberita bahawa kerajaan mengemukakan bantahan berkenaan atas alasan penduduk terbabit sepatutnya mengemukakan rayuan berhubung keputusan LPTA kepada menteri berkenaan.

"Sekiranya mereka (penduduk) tidak berpuas hti dengan keputsuan lembaga itu, mereka sepatutnya mengemukakan rayuan kepada menteri berkenaan seperti yang diperuntukkan Seksyen 32 Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984," kata Suzana, yang dibantu Peguam Kanan Persekutuan Noor Hisham Ismail.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 20 Mac sebagai tarikh untuk mendengar jawapan penduduk terbabit terhadap bantahan itu.

Peguam K.Shanmuga mewakili penduduk berkenaan.

Penduduk terbabit memohon perintah yang menghalang LPTA daripada mengeluarkan sebarang lesen sementara atau lesen tetap kepada Lynas, kecuali atau sehinggalah syarikat itu mengemukakan Laporan Penilaian terperinci tentang kesan loji berkenaan terhadap alam sekitar kepada Ketua Pengarah Alam Sekitar dan sehinggalah laporan itu diluluskan.

Mereka mendakwa keputusan itu melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dan LPTA tidak memberi pelung kepada perayu untuk mengemukakan representasi berhubung keselamatan loji itu.

Mereka juga memohon mendapatkan perintah penangguhan pemberian lesen sementara dan agar Lynas Malaysia, ejen atau pekerjanya dihalang daripada melaksanakan pengoperasian loji berkenaan sehinggalah satu keputusan dibuat tentang permohonan semakan semula kehakiman itu. - BERNAMA

Artikel Lain