suria

Juruteknik Kanan UTM Bebas Tuduhan Rasuah

JOHOR BAHARU: Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa melepas dan membebaskan seorang juruteknik kanan atas tuduhan menerima rasuah RM1,000, tiga tahun lepas.

Hakim Madihah Hairullah membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap Mohd Ramli Abd Rahman, 58, yang bertugas di Biro Inovasi dan Perundingan, Pusat Industri, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, di sini.

Mohd Ramli didakwa menerima wang tunai berkenaan daripada M.Balasupramaniam sebagai dorongan memberi kerja penyelenggaraan di Biro Inovasi dan Perundingan kepada Balasupramaniam di Restoran Ayub, Jalan Pulai Utama 20, Taman Pulai Utama, di sini, kira-kira 11.45 pagi, 23 Okt 2009.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Sajuri Martubi manakala Peguam Rosli Kamaruddin mewakili tertuduh. - BERNAMA

Artikel Lain