suria

JTK Arah Agensi Patuhi Kadar Kos Ambil Pembantu Rumah Indonesia

KUALA LUMPUR: Jabatan Tenaga Kerja mengarahkan agensi pengambilan pekerja supaya mematuhi kadar kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia untuk mengelak dikenakan tindakan.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata, antara tindakan itu ialah mengeluarkan agensi berkenaan daripada Senarai Agensi Pekerjaan Swasta Berdaftar Untuk Pembantu Rumah Indonesia dalam laman web JTK.

Beliau berkata, daripada 281 agensi yang mendaftar dengan JTK, jabatan itu mendapati masih banyak yang tidak mematuhi kadar ditetapkan iaitu RM4,511 seperti dipersetujui dalam pindaan memorandum persefahaman (MoU) pembantu rumah Indonesia.

"Melalui siasatan yang dibuat JTK, kami dapati hanya dua agensi sahaja yang mematuhi kadar ditetapkan itu," katanya ketika berucap melancarkan Program Pendaftaran Majikan Semenanjung Malaysia Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA), Selasa.

Sehubungan itu, Sheikh Yahya berkata, JTK memberi tempoh dua hari kepada agensi lain supaya mematuhi kadar itu dan memaklumkan kepada jabatan mengenai kesediaan mereka berbuat demikian.

Sementara itu, Pemangku Presiden PAPA Jeffrey Foo berharap agensi tersebut mematuhi MoU berkenaan bagi memastikan kelancaran pengambilan pembantu rumah Indonesia.

Untuk memudahkan proses itu, beliau berkata, PAPA mewujudkan Sistem Pendaftaran Majikan, yang antara lain bertujuan mengemas kini maklumat majikan dan pembantu rumah.

"Dengan adanya sistem ini, PAPA dapat menyediakan pangkalan data lengkap, termasuk yang berkaitan dengan langkah pengambilan pembantu rumah, bayaran gaji dan senarai agensi yang tidak ditauliah oleh kerajaan," katanya.

Majikan yang berminat mendapatkan khidmat bantuan pekerja boleh mendaftar dengan menghubungi talian hotline PAPA di 1800-222-000. - BERNAMA

Artikel Lain