suria

Henti Keluarkan Visa Tidak Jejas Kemasukan Penuntut Asing - Khaled Nordin

SERDANG: Keputusan Kementerian Pengajian Tinggi menghentikan pengeluaran visa ketibaan dan pas lawatan sosial kepada penuntut asing tidak menjejaskan kemasukan mereka ke negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai hab pendidikan yang menawarkan pengajian dengan kos rendah di rantau ini, Malaysia tetap menjadi pilihan penuntut asing yang tulen.

"Pelajar asing ingin belajar di negara kita, dia boleh tengok dalam laman web seperti mana pelajar di negara ini memohon untuk belajar di negara lain," katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Selain itu katanya, mereka juga boleh mendapatkan maklumat daripada rakan yang pernah menuntut di negara ini.

Kerajaan baru-baru ini memutuskan hanya akan mengeluarkan visa pelajar kepada penuntut asing selepas mereka menerima tawaran dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta kelolaan kementerian.

Keputusan susulan terdapat banyak kes penuntut asing menyalahgunakan visa dan pas pelajar mereka untuk tujuan lain termasuk kegiatan tidak bermoral.

Mohamed Khaled sebelum itu menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Perdana dan Fakulti Perubatan Tropika, Universiti Mahidol dari Thailand.

Mengenai MoU itu, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya mengalu-alukan kerjasama kedua-dua institusi tersebut memandangkan kerajaan kini menumpukan kepada aspek penyakit tropika.

"Ia merupakan satu perkara yang sewajarnya perlu kita bangunkan kekuatan dan pengetahuan kita, kerana kita juga merupakan sebuah negara yang berhadapan dengan penyakit tropika," katanya.

Beliau meminta institusi pengajian swasta lain agar mengikuti jejak langkah Universiti Perdana memperkenalkan kursus dan fakulti baru bersama universiti luar negara bagi mempelbagaikan kursus dan menjadikan Malaysia pilihan utama pelajar asing. -BERNAMA

Artikel Lain