suria

Hanya Dail Talian Bebas Tol Untuk Dapatkan Pembantu Rumah

PETALING JAYA: Hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) jika anda memerlukan pembantu rumah Indonesia.

Keluarga yang memerlukan khidmat pembantu rumah Indonesia boleh mendail talian bebas tol dan mendaftar dengan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) yang akan dilaksanakan di seluruh negara bermula, Selasa.

"Sebaik saja kita mengetahui jumlah pendaftar yang memerlukan pembantu rumah, kita akan memaklumkan kepada agensi di Indonesia untuk memenuhi permintaan itu," pemangku Presiden Papa, Jeffrey Foo kepada The Star, Isnin.

Pertama, majikan boleh menghubungi 1-800-222-000, kemudian mereka akan menerima SMS meminta mereka untuk membalas SMS tersebut dengan nama, nombor kad pengenalan, alamat rumah dan email.

"Maklumat itu akan dikongsi di kalangan rakan agensi kami yang membekalkan khidmat pembantu rumah," kata Foo.

SMS tersebut turut menyediakan mereka dengan nama pengguna dan kata laluan bagi membolehkan mereka mengakses masuk ke dalam akaun email khas yang disediakan oleh setiap majikan yang berdaftar dengan sistem itu.

Terdahulu, Papa menganggarkan kira-kira 35,000 keluarga memerlukan khidmat pembantu rumah.

Foo berkata, majikan tersebut turut akan disediakan dengan maklumat berkaitan kos pendaftaran untuk mendapatkan pembantu rumah di samping terma dan syarat.

"Di peringkat kedua, kami memerlukan nombor kad pengenalan mereka bagi menyemak kelayakan majikan untuk mendapat pembantu rumah.

"Menerusi pemeriksaan terhadap majikan, kami akan mengawal masalah seperti penderaan pembantu rumah dan kelewatan pembayaran gaji," katanya.

Foo berkata, pendaftaran SMS tidak akan meletakkan mereka dalam senarai menunggu secara automatik.

Majikan digesa untuk mendaftar dengan mereka untuk mempercepatkan proses tersebut.

Di Johor Baru, Mohd Farhaan Shah melaporkan bahawa Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja, Datuk Sheikh Yahya Sheikh Mohamed berkata, pembantu rumah yang sepatutnya tiba awal bulan depan ditangguhkan sehingga bulan April.

Penangguhan itu disebabkan oleh kekurangan latihan di kalangan pembantu rumah oleh pihak berkuasa Indonesia dan permohonan dikemukakan dari Malaysia tidak lengkap.

Sheikh Yahya berkata, sesiapa yang masih berdepan masalah dalam mendapatkan pembantu rumah boleh menghubungi Jabatan Buruh untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Artikel Lain