suria

Guru Besar Cedera Diserang Guru Lelaki

GEORGE TOWN: Seorang guru besar sekolah rendah di Air Itam cedera selepas diserang seorang guru lelaki sekolah yang sama dalam satu pergaduhan di sini, Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintenden Ahmad Bakhtiar Kassim berkata, guru besar lelaki berusia 48 tahun itu diserang ketika membuat rondaan dari kelas ke kelas pada 8.30 pagi.

"Kejadian itu berlaku semasa guru besar berkenaan sedang membuat rondaan dan beliau mendapati kelas yang diajar oleh guru lelaki terbabit berada dalam keadaan bising.

"Guru besar itu bertindak merakam keadaan kelas yang bising dengan menggunakan telefon bimbit miliknya," katanya kepada Bernama, Selasa.

Beliau berkata, tindakan itu tidak disenangi guru lelaki berkenaan, yang bertindak mengekori guru besar tersebut.

"Semasa tiba di tangga antara tingkat satu dan dua sekolah berkenaan, iaitu tidak jauh dari kelas guru lelaki terbabit, beliau bertindak menyerang guru besarnya," katanya. Ahmad Bakhtiar berkata, berlaku pergelutan antara mereka dan ia berjaya dileraikan petugas di sekolah terbabit.

"Akibat pergelutan itu, kedua-duanya mengalami kecederaan, iaitu guru besar berkenaan cedera di bahagian tangan kanan dan kiri, belakang kepala serta kepala.

"Manakala guru lelaki terbabit pula cedera di atas kening mata dan bahagian tangan. Mereka dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, akibat pergelutan itu, cermin mata dan telefon bimbit guru besar berkenaan turut rosak.

Katanya, laporan berhubung kejadian itu telah dibuat dan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain