suria

Presiden MCA Yakin Dengan PRU Akan Datang

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yakin terhadap pencapaian dalam pilihan raya umum akan datang dengn strategi habis-habisan yang sedang dilaksanakan parti itu bagi menewaskan pembangkang.

Dr Chua berkata, parti itu perlu bersatu, bekerja keras sebagai satu pasukan, yakin dan berani, sambil menambah bahawa "perasaan krisis" akan mempengaruhi memontum terhadap usaha keras yang dilakukan.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk menakutkan parti DAP kerana sekutu Pakatan Rakyat hanya sebagai pengecut yang sentiasa bercakap tanpa bertindak.

"Kita di MCA sentiasa bertindak terhadap apa yang dikatakan, mendekati rakyat dan meningkatkan penggunaan media baru untuk mendekati orang ramai secara meluas," katanya ketika merasmikan sambutan ulang tahun MCA ke-63 di sini, Ahad.

Lebih 3,000 perwakilan yang hadir menjadikannya sebagai majlis yang terbesar pernah dianjurkan oleh parti itu.

Dr Chua berbangga dengan sambutan yang diberikan itu dan ia mencerminkan kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi dan sokongan ahli terhadap parti itu.

"Ini membuktikan para pengkritik silap apabila mereka meramalkan bahawa MCA akan ‘tutup kedai’ selepas pilihan raya umum lepas," katanya.

Dr Chua memaklumkan kepada para perwakilan parti yang beorientasikan rakyat itu bahawa program Kerajaan telah menjadikan negara sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Beliau menjadikan dasar Pakatan Rakyat menerusi Buku Jingga sebagai perbandingan di mana menyatakan negara akan bankrap dalam tempoh dua tahun pertama kerajaan persekutuan dikuasai pembangkang dan melaksanakan dasar-dasar itu.

Mengenai harapan MCA dalam pilihan raya umum yang didakwa akan mendapat sokongan kerana mempunyai hubungan baik dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Dr Chua berkata: "Ia adalah baik untuk berhubung rapat dengan Perdana Menteri tetapi kita mesti menggunakan hak keistimewaan ini untuk membantu parti menyelesaikan masalah dan bukannya melobi untuk bertanding."

Beliau berkata, tidak perlu untuk mengesyorkan orang yang mendakwa dirinya mempunyai “hubungan baik” dengan Najib.

"Jika anda berkelayakan, tidak perlu memasukkan nama anda dalam senarai calon-calon yang disyorkan oleh saya kerana nama anda sudah pun berada dalam senarai Perdana Menteri. Perkara ini tidak perlu diulangi.

"Saya akan memberitahu Perdana Menteri, anda mempunyai senarai yang lain, dan ini adalah senarai saya. Anda buatlah keputusan yang mana lebih baik, "katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain