suria

Polis Lumpuh Sindiket Edar Dadah Di Miri

MIRI: Polis berjaya melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di sini, dengan penangkapan tiga warga tempatan serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM77,000.

Ketua Polis Miri ACP Mun Kock Keong berkata berkata semua suspek termasuk seorang wanita, berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan pada 23 Feb lepas di sebuah rumah di Krokop.

"Hasil serbuan 3.40 pagi itu, polis berjaya merampas ganja seberat 5.13 kg, 500 biji pil eramin 5, 240 biji pil ecstacy, serbuk ecstacy seberat 5.8 gram dan candu masak (opium) seberat 30 gram," katanya pada sidang media, di sini, Ahad.

Beliau berkata ketiga-tiga suspek juga positif dadah jenis methaphetamine.

"Kita sekarang sedang mengenal pasti di mana mereka mendapat bekalan kerana ada jenis dadah yang dirampas seperti candu masak amat sukar didapati di negara ini," katanya.

Katanya polis juga sedang menyiasat sama ada pengedaran dadah itu melibatkan pasaran tempatan atau negara luar.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak Supritendan Moses Agat yang turut hadir pada sidang media tersebut, mengesahkan ganja yang dirampas berkenaan adalah yang terbesar di Sarawak setakat ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain