suria

Polis Hanya Buat 'Cadangan Siasatan; Agar Pengerusi NFC Didakwa Pecah Amanah

KUALA LUMPUR: National Feedlot Corporation (NFC) tidak perlu melatah dengan cadangan awal polis agar pengerusi syarikat itu didakwa dengan pertuduhan pecah amanah kerana ianya hanyalah satu cadangan siasatan daripada polis untuk Jabatan Peguam Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, siasatan itu hanya cadangan untuk rujukan Peguam Negara bagi membuat sebarang keputusan terhadap dakwaan pecah amanah itu, sama ada untuk mengambil tindakan undang-undang atau tidak.

"Kalau mereka (NFC) tak puas hati, itu terpulang kepada dia. Kita tetap jalankan tugas kita, kalau tidak, buat apa kita siasat?" katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

NFC menerusi satu kenyataan pada Ahad melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Syed Ismail sebelum ini supaya pengerusi syarikat itu, Datuk Seri Dr Mohamed Salleh Ismail, didakwa atas tuduhan pecah amanah (CBT) kerana menyifatkan kenyataan itu sebagai terlalu awal sedangkan siasatan masih dijalankan.

NFC mempersoalkan motif di sebalik kenyataan itu.

Isu NFC mula mendapat perhatian ramai selepas Laporan Ketua Audit Negara 2010 pada Oktober lepas menyatakan NFC gagal memenuhi matlamat penubuhannya selain terdapat dakwaan wujud penyelewengan peruntukan kerajaan sebanyak RM250 juta yang disalurkan kepada NFC.

Syed Azizan berkata, memang menjadi tugas polis untuk menyatakan beberapa cadangan dalam setiap kertas siasatan yang akan dihantar ke Peguam Negara.

"Apa-apa pun terpulang kepada Peguam Negara untuk membuat sebarang keputusan terbaik," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain