suria

Peguam Didakwa Pecah Amanah Lebih RM600,000

SHAH ALAM: Seorang peguam pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan pecah amanah melibatkan cek bernilai RM638,764 dua tahun lepas.

Zainudin Maksom, 40, didakwa melakukan kesalahan itu antara 28 Julai 2010 hingga 6 Ogos 2010 di pejabatnya di Taman Sri Saga Kajang di mana beliau selaku peguam telah menerima RM638,764 dalam bentuk cek bertarikh 28 Julai 2010 yang dibayar oleh syarikat Qualitypack Properties Sdn Bhd sebagai deposit bagi pembelian sebidang tanah.

Zainudin dituduh melakukan pecah amanah ke atas wang itu setelah tidak membayar balik deposit itu kepada Qualitypack setelah perjanjian jual beli tanah berkenaan dibatalkan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh didenda.

Timbalan Pendakwaraya Asma Nadiah Abdul Rahman menawarkan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin tetapi Hakim Aslam Zainuddin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Peguambela tertuduh S.Chelvarajan berkata anak guamnya telah memfailkan tuntutan sivil ke atas Qualitypack di Mahkamah Tinggi Shah Alam sebelum ini kerana memungkiri kontrak (breach of contract).

Hakim Aslam kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes ini pada 27 Mac 2012. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain