suria

Najib Umum Beberapa Inisiatif Penting Untuk Kaum India

KAPAR: Datuk Seri Najib Tun Razak malam Ahad mengumumkan beberapa inisiatif penting kerajaan untuk masyarakat India di pekan Kapar dan Klang termasuk pembinaan blok baru untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) serta penambahan tempat untuk pelajar India di Kolej Matrikulasi di negara ini.

Perdana Menteri berkata sumber kewangan yang mencukupi akan disediakan untuk pembinaan satu blok bangunan tambahan bagi SJKT Methodist di Kapar sebagaimana dipohon pihak sekolah dan para ibu bapa.

Dalam ucapannya di hadapan lebih 20,000 masyarakat India pada sambutan Pesta Ponggal di sini, Najib turut berkata kerajaan mengesyorkan akan membina kesemua tiga bangunan blok baru untuk sekolah SJKT Simpang Lima di Klang.

"Pembinaan tiga blok baru ini adalah untuk menampung pelajar yang kian meningkat di sekolah Tamil kluster yang pertama di Malaysia," katanya pada majlis yang berlangsung di Padang Kelab Kilat, Kuarters TNB di sini.

Najib turut mengumumkan jumlah pelajar India di kolej Matrikulasi di negara ini akan ditingkatkan daripada 559 sekarang kepada lebih 1,500 pada sesi 2012/2013.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan beberapa menteri kabinet serta pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN).

Najib berkata penambahan tempat di Kolej Matrikulasi akan memberi kesan cukup besar kepada peningkatan bilangan pelajar India yang layak memasuki kursus IPTA, yang disambut dengan tepukan gemuruh para hadirin yang tidak berganjak meskipun hujan lebat turun sejak petang Ahad.

Dalam majlis yang diserikan dengan persembahan artis tempatan dan India itu, Najib turut membuat satu lagi pengumuman penting untuk masyarakat India di Kapar.

Katanya kerajaan akan menghulurkan bantuan secukupnya untuk membina sebuah rumah pembakaran mayat di Pekan Kapar bagi memudahkan masyarakat India menjalankan upacara pengendalian mayat.

Perdana Menteri berkata semua hasrat kerajaan untuk rakyat adalah selaras dengan gagasan 1Malaysia yang lebih inklusif serta meningkatkan keadilan sosial untuk semua masyarakat.

"Saya mengajak masyarakat India jadi rakan kongsi kerajaan berpegang kepada semangat 'nambikei' (kepercayaan) dan sama-sama majukan Malaysia ke arah lebih hebat lagi," katanya.

Najib dalam ucapannya berkata dalam bidang pendidikan sahaja, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM340 juta untuk sekolah-sekolah Tamil di seluruh negara.

Katanya pada tahun ini dalam Belanjawan 2012, peruntukan RM100 juta tambahan untuk membaik pulih dan membina bangunan-bangunan baru SJKT seluruh negara turut diumumkan.

Sementara itu, Palanivel dalam ucapannya berkata beliau mengharapkan lebih banyak peluang dalam bidang pertanian dan industri asas tani disediakan kepada komuniti India memandangkan perkara itu akan membantu daripada segi meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Beliau juga meminta masyarakat India mengusahakan penanaman secara maksimum di kawasan sekitar kediaman mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain