suria

Lima Termasuk Dalam Kemalangan Berasingan Di Pahang

KUANTAN: Lima maut termasuk dua warga emas manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam tiga kemalangan berasingan di Pahang pada Ahad.

Pegawai Turus Trafik Pahang, Deputi Superitendan Mohd Rizal Abdullah berkata, kejadian pertama pukul 7 pagi membabit seorang warga emas, Chan Ka Yin, 81, yang dirempuh sebuah kereta ketika melintas di Km42.3 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

"Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas badannya terputus dua dilanggar kereta dari arah Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Kemalangan kedua membabitkan seorang lagi warga emas maut manakala dua pemandu kereta cedera parah selepas terbabit dalam kemalangan di Km332 Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu pada 4 petang.

Mohd Rizal berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan yang dipandu Chong Pun, 75, dari arah Kuala Lumpur dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan mangsa telah merempuh dua kenderaan arah bertentangan.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala manakala pemandu dua lagi kenderaan itu cedera parah dimasukkan ke Hospital Raub.

Kemalangan ketiga telah meragut tiga nyawa selepas kereta yang mereka naiki merempuh belakang sebuah lori di Km208.6 Lebuhraya Pantai Timur pada 8.10 malam.

Mohd Rizal berkata, mangsa dikenali sebagai Susilawati Saparuddin, 21, Azizah Latif, 49, dan Arfan Ar Rayyan Azman, berusia satu tahun.

Katanya, kenderaan yang dipandu Susilawati dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kuantan dipercayai gagal dikawal sebelum merempuh belakang lori berkenaan menyebabkan ketiga-tiganya meninggal dunia di tempat kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa hampir satu jam mengeluarkan mangsa daripada kenderaan yang terperosok di belakang lori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain