suria

KDN Timbang Program Pemindahan Banduan Antarabangsa

KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menimbang untuk mewujudkan rangkaian kerjasama menerusi Program Pemindahan Banduan Antarabangsa bagi mengurangkan kesesakan banduan di penjara di negara ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi berkata, negara perlukan sistem yang sama seperti Program Pemindahan Banduan Antarabangsa kerana kebanyakan banduan di penjara bukan daripada kalangan rakyat Malaysia tetapi termasuk warga asing.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Jabatan Penjara peringkat Sabah di Penjara Pusat Kota Kinabalu di sini Isnin, beliau berkata, kementeriaan sedang merangka Modul Pemulihan Orang Tahanan di bawah undang-undang pencegahan yang baru dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Abdul Rahim juga berkata, peranan Jabatan Penjara harus disanjung tinggi kerana terus memperluaskan jaringan kerjasama dan berusaha memasyarakatkan penjara yang memberi peluang kepada warganegara yang berkelayakan untuk bersama-sama membantu memulihkan banduan.

Pada majlis itu, 93 pegawai dan kakitangan Jabatan Penjara dari seluruh negeri menerima anugerah masing-masing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain