suria

Jaip Perlu Siasat Badrul Amin Secara Telus, Profesional - Saifuddin

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) supaya menjalankan siasatan secara telus dan profesional ke atas pemimpin kanan parti itu, Dr Badrul Amin Baharon yang ditangkap khalwat bersama seorang wanita berstatus isteri.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berkata, pihaknya sedia maklum bahawa Badrul Amin diminta oleh Jaip untuk membantu siasatan berhubung insiden tersebut yang berlaku di sebuah hotel di Kuantan, awal pagi Sabtu.

"PKR sedia maklum bahawa Dr Badrul Amin Baharon diminta Jaip untuk membantu siasatan berikutan sebuah insiden di Kuantan pada 25 Februari 2012.

"Justeru, PKR menuntut agar Jaip dan pihak berkuasa membuat siasatan secara telus dan profesional," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Saifuddin berkata, PKR akan terus memelihara prinsip keadilan bagi semua pihak yang terlibat.

Awal pagi Ahad, Badrul Amin menafikan bahawa beliau ditangkap khalwat sebaliknya mendakwa beliau diperangkap untuk mengaibkannya.

Badrul Amin berada di Kuantan bagi menghadiri temurapat atau retreat bersama pimpinan parti itu termasuk Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim selama tiga hari bermula Jumaat.

Menurut Badrul Amin, beliau dihubungi wanita berkenaan pada petang Jumaat lalu yang mengadu menghadapi masalah rumah tangga serta menyatakan hasrat untuk lari dari rumah kerana bimbang masalah keselamatan terancam.

Bagaimanapun Badrul Amin yang mengaku mengenali wanita berkenaan dan suaminya menasihatkan agar dia tidak berbuat demikian.

"Walau bagaimanapun pada pukul 2 pagi 25 Februari 2012, dia telah menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau sudah tiba di lokasi Temurapat Pemimpin Keadilan.

"Atas rasa tanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, saya membantu beliau mendapatkan bilik penginapan. Namun pada pukul 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya.

"Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa," katanya.

Selain itu Badrul Amin turut mendakwa bahawa kumpulan lelaki berkenan bertindak memukulnya sehingga pihak keselamatan hotel tiba menghalang mereka.

Bagimanapun, beliau tidak dibenarkan meninggalkan bilik itu dan pegawai Jaip tiba untuk menahannya kira-kira 20 minit kemudian.

Badrul Amin dipanggil bagi membantu siasatan Jaip pada Isnin ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain