suria

Perkhidmatan Teksi Elak Kesesakan Di Hospital Raja Perempuan Zainab II

KOTA BAHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) memperkenalkan perkhidmatan kereta sewa kepada pesakit yang ingin mendapatkan rawatan di hospital itu.

Pengerusi Anggota Lembaga Pelawat hospital itu Datuk Fatmi Che Salleh berkata idea itu diilhamkan Pengarah HRPZII Datuk Dr Ghazali Md Hassan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengatasi masalah kekurangan tempat letak kereta di hospital itu.

"Sebagaimana yang kita tahu, HRPZII telah berkembang dan tidak lagi dapat menampung jumlah pesakit yang ramai hingga menyebabkan kekurangan tempat meletak kenderaan.

"Justeru, langkah yang dibuat oleh pengurusan hospital ini adalah amat baik sebagai salah satu kaedah terbaru untuk menambahbaik perkhidmatan kepada pesakit," katanya selepas merasmikan Perkhidmatan Kereta Sewa HRPZII di Perkarangan Dewan Bersalin HRPZII, di sini, Ahad.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah (Perubatan) HRPZII Dr Selasawati Ghazali dan Ketua Stesen Pemilik Kereta Sewa HRPZII Mohd Razali Jusoh.

Fatmi berkata HRPZII bekerjsama dengan Persatuan Kereta Sewa Buluh Kubu di sini, bagi merealisasikan perkhidmatan itu dan sebanyak 10 buah kereta sewa telah beroperasi bagi tujuan itu.

"Saya difahamkan tambang yang dikenakan juga amat berpatutan iaitu RM10 bagi perjalanan sejauh 5 kilometer untuk sehala.

"Bagaimanapun, caj tambahan akan dikenakan jika melebihi jarak yang ditetapkan, selain pesakit juga boleh menghubungi perkhidmatan ini untuk mengambil mereka di rumah," katanya.

Fatmi berkata satu jawatankuasa kecil juga akan ditubuh bagi memantau perkhidmatan itu supaya ia dapat ditambahbaik dari semasa ke semasa.

Pelanggan yang ingin mendapatkan perkhidmatan kereta sewa itu boleh menghubungi talian 014-5025928. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain