suria

Nasib Golongan Berpendatan Sederhana Tidak Dilupa - Najib

SABAK BERNAM: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kesan positif pertumbuhan ekonomi negara turut dirasai golongan berpendapatan sederhana dan sederhana rendah melalui pelbagai program pembangunan serta bantuan secara langsung kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri berkata golongan itu tidak dilupakan berdasarkan gagasan 1Malaysia yang bersifat inklusif. "Biasanya dalam mana-mana sistem ekonomi dunia, yang kaya dia rasa selesa, yang miskin dia dapat bantuan, tapi ramai di tengah-tengah yang (dalam golongan) sederhana, sederhana rendah yang kadang-kadang terlepas pandang atau tidak ada program untuk membantu kelompok ini," katanya.

Najib berkata demikian pada majlis bersama warga petani, nelayan dan pekebun kecil Parlimen Sabak Bernam yang diadakan sempena lawatan sehari beliau ke Selangor, di Bagan Nakhoda Omar di sini, Ahad.

Menyentuh pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Najib berkata kerajaan BN tidak 'memilih bulu' kerana pihak yang dikatakan bukan penyokong BN turut menerima bantuan RM500. Perdana Menteri menegaskan bahawa rakyat perlu terus memilih BN sebagai parti pemerintah demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Beliau menarik perhatian bahawa pihak pakatan pembangkang yang menghadapi percanggahan ideologi tidak harus diberi keyakinan untuk mentadbir negara.

Perdana Menteri menegaskan BN telah meletakkan asas kukuh dalam sistem pentadbiran kerajaan serta pengurusan ekonomi negara yang memungkinkan pelbagai bantuan disalurkan kepada rakyat seperti BR1M, bantuan awal persekolahan dan baucar pembelian buku untuk pelajar selain mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan bantuan sagu hati berjumlah RM1.5 juta kepada pekebun pisang di Sabak Bernam berikutan hasil tanaman mereka diserang penyakit "moko" yang menyebabkan buah pisang bertukar hitam atau perang.

Pemberian sagu hati itu dibuat mengikut keluasan tanah iaitu RM1,500 bagi setiap hektar yang disalurkan melalui peruntukan khas Jabatan Perdana Menteri.

Selain itu, Najib menyampaikan bantuan BR1M kepada 20 penerima dari kawasan Parlimen Sabak Bernam dan elaun sara hidup nelayan berjumlah RM322,400 kepada wakil Persatuan Nelayan Kawasan Sungai Besar serta peralatan industri kecil dan sederhana kepada lima penerima.

Terdahulu, Najib merasmikan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar Datuk Raja Ederis Raja Ahmad, dan menamakannya "Dewan Seri Peladang".

Beliau turut bersarapan pagi bersama pemimpin akar umbi BN. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain