suria

MCA Sebuah Parti Yang Lebih Kuat & Bersatu - Soi Lek

KUALA LUMPUR: MCA kini telah muncul sebagai sebuah parti yang lebih bersatu dan kuat selepas mengharungi banyak krisis, demikian tegas presiden parti Datuk Seri Dr Chua Soi Lek pada majlis sambutan ulang tahun ke-63 parti yang dihadiri 3,000 perwakilan, kehadiran tertinggi pada perhimpunan parti seumpama itu.

Dua tahun lepas, MCA berada di persimpangan, tetapi selepas barisan baru pemimpin dipilih, parti telah bekerja keras untuk mengembalikan kepercayaan rakyat dan menjadikannya relevan semula, katanya kepada perwakilan di Dewan San Choon, di sini.

"Kita perlu menerima hakikat bahawa rakyat tidak akan sokong parti yang diselubungi masalah. Kita perlu perbetulkan keutamaan kita supaya kita boleh bergerak dalam satu arah. Hala tuju perlu seiring antara satu sama lain dan bekerja bersama-sama untuk satu tujuan tetapi dengan mempunyai banyak matlamat," katanya.

Dr Chua berkata tiada ruang untuk kumpulan serpihan dalam parti kerana ia akan memusnahkan apa yang telah dibina oleh parti selama enam dekad lepas dan tidak dinafikan wujud perselisihan dalaman tetapi keutamaan sekarang ialah membina asas pertumbuhan yang kukuh untuk parti dan juga negara.

Beliau berkata MCA perlu terus melakukan perubahan, berinovasi dan memenuhi jangkaan supaya parti boleh menjadi kuasa inspirasi untuk masa depan Malaysia.

"Sebagai sebuah parti politik, kita perlu menjangkakan cabaran-cabaran dalam persekitaran politik hari ini yang telah menjadi lebih getir. Pemimpin boleh datang dan pergi tetapi parti akan terus wujud," katanya dan menurutnya barisan kepimpinan parti yang berbeza mempunyai cara, pendekatan dan inisiatif berlainan. Oleh yang demikian, selaras dengan budaya baru politik, beliau berkata MCA telah mengambil pendekatan lebih berprofil tinggi dalam politik, menetapkan matlamat yang boleh dicapai dan menjenamakan parti mengikut kesesuaian.

"Walaupun kini MCA telah dianggap sebagai lebih lantang dan lebih efektif dalam menyelesaikan masalah, masalah yang kita hadapi ialah bahawa rakyat mungkin tidak sedar dengan apa yang kita sedang lakukan. Mereka lebih bersikap mengkritik mengenai apa yang anda tidak lakukan atau gagal lakukan," katanya.

Namun, katanya parti yakin untuk melaksanakan tanggungjawab itu dan dalam memenuhi harapan dan jangkaan rakyat.

Dr Chua berkata MCA masih relevan kerana banyak rakyat yang masih bergantung kepada parti untuk bantuan. "Di ibu pejabat MCA, kami menerima beratus-ratus panggilan setiap hari meminta bantuan. Biro aduan kami juga sentiasa sibuk. Ini kerana MCA bukan sekadar bercakap; kami laksanakan apa yang dikatakan, dan bekerja dan lakukannya," katanya. Parti tidak suka mendabik dada mengenai pencapaiannya tidak sepertimana parti-parti politik tertentu yang sebenarnya tidak berbuat banyak tetapi hanya bijak memperbesar-besarkan apa yang mereka lakukan, katanya. "Hanya satu rayuan kami kepada rakyat iaitu bersikap adil apabila membuat penilaian mereka terhadap MCA," katanya.

Beliau juga berkata walaupun MCA berasaskan kaum Cina, program parti itu disusun untuk faedah penduduk pelbagai kaum dan ia telah beralih daripada imej berasaskan etnik dengan tidak lagi menumpukan atau menyelesaikan isu-isu hanya daripada perspektif kaum Cina, Melayu atau India sahaja. "Kami menyokong kontrak sosial yang inklusif untuk memberikan khidmat lebih baik kepada rakyat secara adil dan dalam merealisasikan kehendak rakyat. Ini juga selaras dengan agenda 1Malaysia 'Rakyat Didahulukan'," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain