suria

Bukan Tak Turun Padang, Tapi Kurang Liputan - Ahmad Maslan

KUALA SELANGOR: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata menteri kabinet seperti beliau bukan tidak turun padang, sebaliknya kurang mendapat liputan berita.

"Hari ini saja, saya ada lapan program di Pontian, malam ini di sini, dan esok tiga program di Sabah," katanya pada sidang akhbar di Majlis Penerangan Perdana Parlimen Kuala Selangor malam Sabtu.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany.

Selaku Ketua Penerangan UMNO dan Barisan Nasional (BN), Ahmad berkata beliau kerap turun padang bersama rakan dalam kabinet untuk memperjelaskan sesuatu isu, selain memeriksa dan menguji persediaan serta persiapan jentera parti komponen itu.

Ahmad berkata penerimaan rakyat, terutama bangsa Melayu dan India, terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meningkat dari sehari ke sehari menerusi maklum balas orang ramai dalam program yang mereka hadiri.

Sehubungan itu, jentera BN diharap bergerak seiring dengan penerimaan rakyat terhadap kepimpinan Najib agar momentum yang dibina daripada program BN sebelum ini dapat diteruskan sehingga mampu menawan kembali Selangor, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain