suria

BR1M Penjawat Awam Dikecualikan cukai

BACHOK: Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diterima penjawat awam bergaji hampir RM3,000 tidak akan dimasukkan dalam perkiraan cukai pendapatan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata perkara itu adalah selaras dengan tujuan BR1M iaitu bagi meringankan beban golongan berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Awang Adek yang ditemui pemberita selepas Majlis Mesra Polis Bersama Masyarakat di sini pada Sabtu, diminta mengulas dakwaan pembangkang bahawa bantuan RM500 yang diterima penjawat awam bergaji hampir RM3,000 akan dikenakan cukai.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kelantan berkata dakwaan pembangkang itu adalah antara bukti yang mereka kini berasa tergugat dengan usaha kerajaan membantu rakyat.

"Mereka juga bimbang sokongan terhadap kerajaan kini semakin meningkat." katanya.

Malah kata Awang Adek, ada pihak yang meminta agar bantuan itu diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan memberi pertimbangan yang wajar mengenai perkara itu jika Barisan Nasional terus diberi mandat memerintah selepas pilihan raya umum ke-13 kelak.

Pada majlis hari ini, lebih 200 masyarakat keturunan Cina dan Siam menyertai program anjuran Polis Diraja Malaysia yang antara lain bertujuan mendekatkan hubungan polis dan komuniti terutama dalam usaha mencegah jenayah. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain