suria

Bayi Lelaki Berusia Lima Hari Ditinggal Di Hadapan Rumah

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita warga emas yang menutup hampir keseluruhan mukanya dengan sehelai kain, meninggalkan seorang bayi lelaki di sebuah rumah di Kampung Beladau di sini, Jumaat.

Bayi berusia lima hari yang cukup sifat itu diletakkan di atas alas kaki di hadapan pintu utama rumah berkenaan pada kira-kira pukul 6 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K Manoharan berkata wanita warga emas yang berusia dalam lingkungan 70-an itu dikatakan mengetuk pintu rumah berkenaan.

"Penghuni rumah itu, seorang wanita berusia 22 tahun yang ketika itu menjaga adiknya membuka pintu dan melihat warga emas terbabit sedang meletakkan seorang bayi di atas sehelai alas kaki.

"Warga emas terbabit juga dikatakan sempat berpesan kepada wanita iu agar menjaga bayi berkenaan dengan baik," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Sabtu.

Manoharan berkata wanita warga emas yang dikatakan dalam keadaan tergesa-gesa itu melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Satria yang dipandu seorang lelaki.

Beliau berkata bayi itu berada dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Polis kini mencari seorang wanita warga emas bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran.

Manoharan berkata polis percaya perbuatan itu dilakukan lebih dari seorang dan polis masih menyiasat sama ada warga emas terbabit berniat membuang bayi itu atau sebaliknya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain