suria

Puteri Umno Akan Pastikan Semua Anggotanya Jadi Pemilih

KANGAR: Puteri Umno Malaysia akan memastikan semua anggotanya yang berumur 21 tahun dan ke atas mendaftar sebagai pemilih, kata ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Beliau berkata sehingga tahun lalu, sejumlah 70,000 daripada 390,000 anggota Puteri Umno di seluruh negara belum mendaftar sebagai pemilih, dan gerakan mendaftar secara agresif dilakukan.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Teknologi Maklumat dan pelancaran jentera pilihan raya Puteri Umno Perlis di Arau hari ini, Rosnah berkata saiz anggotanya yang belum mendaftar semakin kecil iaitu kira-kira 30 peratus daripada 70,000 orang.

Beliau memberi tempoh sebulan untuk kepimpinan Puteri Umno negeri memastikan semua anggota yang layak mendaftar sebagai pemilih.

Katanya, antara punca begitu ramai yang belum mendaftar sebagai pemilih ialah kegagalan kepimpinan Puteri Umno negeri mengesan kedudukan terkini mereka kerana ada yang telah berpindah.

Bagi Perlis, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, berkata sejumlah 1,492 daripada 8,223 anggota Puteri Umno belum mendaftar sebagai pemilih.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka dapat berbuat demikian ecepat mungkin kerana sokongan kuat mereka kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak bermakna jika tidak boleh mengundi pada pilihan raya umum.

"Apalah erti perjuangan sekiranya kita mengabaikan kuasa yang satu ini. Kuasa kita sebagai pemilih menjadi penentu masa depan negara," katanya.

Terdahulu, Rosnah mengadakan perjumpaan tertutup dengan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, yang juga Pengrusi BN Perlis, sebelum melawat pesakit di kawasan Parlimen Padang Besar, Kangar dan Arau melalui Projek Prihatin Puteri Umno.

Turut mengiringi Rosnah Ketua Puteri Umno Perlis Asmaiza Ahmad. - BERNAMA

Artikel Lain