suria

PM Tiba Untuk Lawatan Sehari Ke Kedah

ALOR SETAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Sabtu bagi mengadakan lawatan kerja sehari ke Kedah.

Ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim pada 9.35 pagi disambut oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Datuk Dr Abdul Isa Ismail yang mewakili Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Turut menyambut Perdana Menteri dan rombongannya ialah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Timbalannya Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, serta pemimpin Umno dan parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Program pertama Perdana Menteri adalah menghadiri Himpunan Raksasa Perpaduan Gayung anjuran Pertubuhan Seni Silat Pusaka Gayung Malaysia di Modenas, Gurun, kira-kira 50km dari sini.

Selepas itu, beliau ke Pendang untuk merasmikan Sekolah Bahasa Siam di Watt Kampung Titi Akar dan menghadiri Karnival Kasih Perdana Menteri bersama masyarakat Siam di Watt Nanai, Kampung Tok Set. BERNAMA

Artikel Lain