suria

NGO Desak Anwar Minta Maaf Kenyataannya Sokong Israel

KUALA LUMPUR: Seramai 30 ahli Gabungan Keselamatan Negara dan Persatuan Bekas Tentera Malaysia mengadakan demonstrasi hari ini membantah kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong Israel dan mendesak ketua pembangkang itu memohon maaf kepada rakyat.

Demonstrasi secara aman yang berlangsung selama sejam mulai 3 petang itu, diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan anggota kumpulan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu mempamerkan sepanduk yang tertulis "mendesak Anwar Ibrahim pohon maaf secara terbuka pada rakyat Malaysia di atas kebiadaban Anwar sokong Israel".

Mereka juga menyediakan satu kain rentang untuk orang ramai menurunkan tanda tangan sebagai desakan agar Anwar memohon maaf.

Penganjur demonstrasi itu, Arman Azhar Abu Hanifah berkata perhimpunan itu merupakan satu inisiatif untuk mengambil tandatangan rakyat yang tidak sokong kenyataan Anwar terhadap Israel.

"Kalau seminggu Anwar tidak meminta maaf, kita anggap ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Tropicana, Petaling Jaya adalah kedutaan Israel secara tak rasmi," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu.

Beliau juga menegaskan pihaknya akan menyerahkan kain rentang yang mengandungi tandatangan orang ramai itu kepada PAS Jumaat depan, jika parti itu tidak secara tegas menunjukkan pendirian mereka kepada rakan sekutu, PKR berhubung sokongan kepada Israel itu. - BERNAMA

Artikel Lain