suria

Mekanik Maut Terkena Tembakan Berhampiran Sungai Golok

KOTA BAHARU: Seorang mekanik yang berasal dari Thailand maut terkena tembakan ketika sedang menangkap ikan di Sungai Lubok Stol dekat Sungai Golok di Rantau Panjang, di sini, Sabtu.

Dalam kejadian pada pukul 2.45 petang itu, Azhar Daud, 40, maut selepas terkena tembakan di rusuk kanannya.

Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata ketika kejadian Azhar dan dua rakannya menangkap ikan di Pengkalan Air Hasan di sungai itu sebelum mereka mendengar lima das tembakan.

Siasatan awal polis mendapati tembakan dilepaskan dari arah semak tebing sungai sebelah Thailand, katanya melalui khidmat SMS kepada Bernama di sini.

"Mangsa dibawa ke Hospital Lati, Pasir Mas dan disahkan telah meninggal dunia.

"Siasatan juga mendapati mangsa telah lama menetap dan bekerja sebagai mekanik di Lubok Stol dan dipercayai mempunyai dua kerakyatan. Keluarga mangsa masih tinggal di selatan Thailand," katanya.

Jalaluddin berkata kampung terdekat di sebelah Thailand ialah Kampung Tanjong Belit dan kawasan yang dilepaskan tembakan ialah kebun getah dan semak-samun di kampung itu.

Beliau berkata berdasarkan bunyi tembakan yang berturut-turut, kedua-dua rakan mangsa percaya senjata yang digunakan adalah pistol automatik.

"Menurut laporan doktor, peluru masih berada dalam badan mangsa dan jenis senjata hanya akan dipastikan apabila peluru dikeluarkan selepas bedah siasat," katanya.

Jalaluddin berkata pihaknya akan meminta bantuan Interpol dan kerjasama daripada pihak Thailand untuk mendapatkan maklumat mengenai kejadian itu bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain