suria

MCA Makin Yakin Tambah Sokongan Kaum Cina

KUALA LUMPUR: MCA akan menyambut ulang tahun ke-63 penubuhannya esok bersama keyakinan lebih tinggi mampu menarik kembali sokongan majoriti masyarakat Cina.

Keyakinan ini terbit daripada perbahasan antara presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng beberapa hari lepas, yang sesetengah pihak percaya berjaya memulihkan maruah dan martabat parti itu.

"Kami semua begitu bersemangat selepas perbahasan itu. Ini sesuatu yang baru bagi MCA. Amat jarang bagi pemimpin MCA menangani sesuatu isu besar dengan bertindak menghadapinya secara berdepan. Langkah itu benar-benar menaikkan semangat kami," kata anggota jawatankuasa pusat parti itu Datuk Ti Lian Ker.

Beliau memberitahu Bernama bahawa keadaan sekarang jauh berbeza dengan sebelum ini apabila MCA dilanda pertikaian dan perebutan dalaman hingga menyebabkan semangat anggotanya jatuh ke tahap begitu rendah berikutan kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya umum 2008.

"Selama ini, kami kalah dalam perang persepsi. Tapi kini, sekurang-kurangnya kami dapat memulihkan kedudukan apabila anggota kami lebih bersedia untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Bagaimanapun, banyak pihak yang masih tertanya-tanya sama ada perbahasan itu mempunyai kesan besar terhadap MCA.

Pengerusi MCA Kedah, Datuk Chong It Chew berpendapat perbahasan itu bukan saja berjaya memulihkan kebanggaan dalam kalangan anggota parti, malah ia juga meningkatkan keyakinan mereka dan menjadikan pemimpin MCA kini lebih bersedia untuk menyambut cabaran daripada mana-mana pihak untuk berbahas.

"Ini jarang berlaku dalam MCA. Kini, kami sudah bersedia untuk menghadapinya di mana saja dan pada bila-bila masa. Perbahasan itu memberi keyakinan kepada kami untuk mendedahkan masalah yang dihadapi pembangkang di negeri yang mereka kuasai.

"Sebelum ini, MCA dan Gerakan sentiasa mengamal pendekatan mempertahankan diri. Tapi sekarang, kami pula yang akan menyerang. Keadaan sudah berubah. Contohnya, di Kedah, kami menjadi pembangkang. Tapi, dengan semangat baru dan kebanggaan yang ada sekarang, kami sudah bersedia untuk bertempur," katanya.

Beliau berkata ramai anggota peringkat akar umbi parti itu mendapat ilham daripada cara Dr Chua berhujah ketika mendedahkan "taktik menipu" yang diamalkan DAP dalam memperjuangkan cita-cita mereka di Pulau Pinang, tetapi parti itu tidak mampu mempengaruhi negeri lain yang ditadbir pembangkang supaya mengamalkan pendekatan serupa.

Seorang lagi anggota jawatankuasa pusat MCA Loh Seng Kok berkata terdapat juga faktor lain yang menaikkan semangat anggota parti itu kebelakangan ini.

Katanya keputusan kepimpinan tertinggi parti itu baru-baru ini memberi sagu hati RM100 kepada setiap anggota MCA berusia 60 tahun dan ke atas serta RM200 kepada setiap anggota parti itu atau isteri mereka yang melahirkan anak, sedikit sebanyak menaikkan semangat anggota parti.

Beliau berkata pemberian "ang pau" RM100 itu menunjukkan MCA menghargai sumbangan mereka dan kini terdapat kira-kira 300,000 warga emas yang menganggotai MCA sejak lebih 30 tahun lepas.

"Semua ini menjadikan anggota berasa mereka dihargai. Ia menaikkan semangat anggota di peringkat akar umbi, terutama semangat kekitaan dalam kalangan mereka," kata beliau.

Pemimpin veteran MCA, yang juga Ketua Publisiti BN Selangor, Datuk Yap Pian Hon pula berkata sejak beberapa tahun lepas, parti itu telah menambah baik perkhidmatannya untuk rakyat melalui pemberian biasiswa kepada mereka yang memerlukan dan penubuhan Tabung Perubatan 1MCA.

"Ini sememangnya banyak membantu, terutama bagi orang biasa dan mereka yang tidak mampu membayar bil rawatan," katanya.

Beliau berkata memandangkan MCA kini menyambut ulang tahun ke-63 perjuangannya dalam arena politik, parti itu perlu melakukan pembaharuan untuk memastikan ia terus relevan kepada masyarakat.

"MCA telah memainkan peranannnya dalam pembinaan negara bersama parti komponen lain. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 2008, arah aliran politik telah banyak berubah dan MCA perlu mengikuti perubahan yang berlaku ini," katanya.

Yap berkata MCA tidak boleh hanya memberi tumpuan terhadap peranannya dalam membangunkan negara dan meminta orng ramai menghargai jasa yang disumbangkannya kepada masyarakat.

"Saya percaya MCA masih relevan. Bagaimanapun, parti ini perlu melakukan perubahan dan mengubah gaya, sikap serta pendekatannya. Jika tidak, saya bimbang ia mungkin tidak relevan lagi pada masa akan datang," katanya.

Artikel Lain