suria

Wanita Dituduh Jalankan Perniagaan Wang Tanpa Lesen

SHAH ALAM: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, Jumaat, kerana dituduh menjalankan perniagaan wang tanpa lesen di Klang manakala dua lelaki dituduh membantunya.

Wanita itu, Lim Ah Hong, 52, bersama K. Letchumanan, 46 dan K. Kesavan,35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim didakwa menjalankan perniagaan peminjaman wang di syarikat Hau Yun Enterprise, Solok Pendamar 1, Taman Pendamar Indah, Klang, pada 10 pagi 20 Feb lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 5(1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Letchumanan dan Kesavan pula didakwa membantu Lim mengendalikan operasi syarikat itu di tempat dan pada masa sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29AA (1) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Hakim Aslam membenarkan Lim diikat jamin RM40,000 manakala Letchumanan dan Kesavan masing-masing dibenarkan diikat jamin RM15,000.

Beliau juga memerintahkan semua tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain mengarahkan mereka melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan pada Isnin pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula 28 Mac ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain