suria

Unit Peronda K9 Tahan 22 Pendatang Myanmar Berhimpit Dalam Sebuah Van

JITRA: Seramai 22 pendatang tanpa izin warga Myanmar ditahan oleh Unit Peronda Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Kubang Pasu di Km 24 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke selatan, Jumaat.

Ketika ditahan pada 1.10 tengah hari itu, mereka yang terdiri daripada tujuh lelaki, lapan wanita dan tujuh kanak-kanak termasuk dua perempuan ditemui berhimpit dalam sebuah van pelancong dipercayai dari Changlun menuju ke Kulim.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Ibrahim Mohamed Yusuf berkata van itu yang dalam keadaan mencurigakan dikesan unit terbabit ketika meronda, dan hasil pemeriksaan mendapati van dipandu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.

"Anggota unit K9 telah menahan van tersebut dan mendapati 22 pendatang berumur antara satu hingga 40 tahun berada dalam keadaan berhimpit antara satu sama lain dan pemeriksaan awal mendapati mereka semua tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata van itu sepatutnya hanya boleh memuatkan sehingga 12 penumpang, namun tindakan pemandu membawa 22 penumpang menimbulkan kecurigaan.

"Semasa anggota kita membuat pemeriksaan, terdapat beberapa pendatang yang cuba memboloskan diri tapi dengan kecekapan yang ada pada anggota kita, mereka berjaya membawa semua Pati tersebut serta pemandu van ke IPD bagi membuat laporan polis," kata Ibrahim.

Katanya modus operandi yang digunakan oleh pihak yang terlibat adalah membawa pendatang pada waktu umat Islam sedang bersiap menunaikan solat Jumaat kerana mereka berasakan pada waktu itu tidak ada anggota penguatkuasa yang akan menjalankan operasi.

Beliau berkata kes itu adalah yang pertama untuk Unit K9 dan antara kes terbesar pernah dilakukan oleh unit itu kerana sebelum ini mereka hanya berjaya menahan antara empat hingga lima orang sahaja.

"Kita akan siasat kes itu di bawah Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Akta Anti Penyeludupan Migran. Kes itu akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain