suria

Tindakan Exco Tolak Jawatan Tanda Keretakan Pimpinan Kerajaan Kedah

SUNGAI PETANI: Tindakan sekurang-sekurangnya dua Exco kerajaan negeri Kedah menolak pelantikan semula menunjukkan tanda-tanda keretakan dalam pimpinan kerajaan negeri Kedah yang diterajui PAS.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata beliau yakin akan berlaku perpecahan dalam pimpinan kerajaan Kedah rentetan kontroversi beberapa Exco kerajaan negeri yang dikatakan menolak jawatan.

"Dah mula retak, lama-lama relai (pecah). Ini sesuatu yang serius. Tak pernah berlaku dalam sejarah exco tolak jawatan. Kita tunggu kejutan 28 Feb ini (majlis pelantikan exco bagi 2012)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 bagi Parlimen Sungai Petani di Tikam Batu dekat sini, Jumaat.

Beliau mengulas mengenai khabar angin bahawa dua Exco Kedah telah menulis surat kepada Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak bagi menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu yang dijadualkan diumumkan Selasa ini.

Dua Exco yang disebut-sebut berbuat demikian adalah Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Timbalan Pesuruhjaya II Datuk Dr Ismail Salleh, yang dipercayai kerana kecewa dengan sikap dan kepemimpinan Azizan, yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, berhubung pelbagai isu yang melanda pentadbirannya sejak kebelakangan ini.

Kedua-duanya tidak mengesahkan atau menafikan khabar angin itu dan hanya menyerahkan perkara itu kepada Azizan.

Ahmad Bashah berkata rakyat negeri ini sudah mula nampak akan masalah dalaman yang berlaku kepada kepimpinan PAS negeri ini khususnya wujud perebutan kuasa sesama sendiri.

"Sepanjang tempoh dekat empat tahun PAS memerintah negeri ini tidak ada sebarang pembangunan yang berlaku sebab yang ada kita lihat sekarang perebutan kuasa dalaman dan rakyat pun dah nampak perbalahan tersebut," katanya.

Di YAN, Ketua Penerangan Umno Negeri Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata desas-desus bahawa dua exco kerajaan negeri Kedah akan digugurkan di samping telahpun menyatakan keengganan dilantik semula ke jawatan itu, adalah satu kecelaruan dan kekalutan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata oleh kerana ini merupakan barisan yang menerajui negeri Kedah, ia bukan hanya dalam konteks politik semata-mata tetapi seluruh rakyat Kedah seharusnya merasa bimbang dengan situsi ini.

"Kita rasa bimbang perkembangan ini akan memberikan keadaan yang tidak meyakinkan daripada teraju pimpinan menteri besar sampai ahli exco. Jadi kalau barisan exco kali ini tak menentu...dah ada yang mengatakan tak nak komen langsung hari nak angkat sumpah dan sebagainya, jadi saya merasakan satu keadaan yang membimbangkan pentadbiran negeri Kedah dan yang akan rugi nanti rakyat negeri Kedah itu sendiri," katanya pada majlis sambutan Maulidur Rasul di Masjid Dulang Kecil.

Jamil khir berkata keadaan ini harus ditangani segera agar pentadbiran kerajaan negeri Kedah tidak dalam keadaan berteka-teki.

Majlis pelantikan anggota-anggota exco Kerajaan Negeri Kedah bagi tahun 2012 akan diadakan pada Selasa ini di Istana Anak Bukit, Alor Setar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain