suria

Tan Sri James Foong Bersara Sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan

PUTRAJAYA: Tan Sri James Foong Cheng Yuen mengakhiri perkhidmatan beliau sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman di sini, Jumaat.

Foong, 66, akan bersara wajib mulai esok. Para pegawai kanan badan kehakiman, Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria, Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin serta warga Jabatan Kehakiman mengucapkan selamat bersara kepada Foong ketika beliau mengetip kad perakam waktunya pada pukul 5 petang.

Turut hadir Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Ma'arop.

Kata-kata terakhir Fong sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan ialah "badan kehakiman kini berada dalam keadaan selamat, baik dan di tangan mereka yang berkemampuan."

"Ia (badan kehakiman) telah dipermodenkan, disusun semula dan saya berpendapat kita boleh mencapai tahap lebih tinggi," kata Foong kepada pemberita.

Foong berkhidmat dalam bidang kehakiman selama 21 tahun. Perkhidmatan beliau bermula sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 1990 dan dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi dua tahun kemudian.

Antara jawatan yang pernah beliau sandang ialah hakim Mahkamah Tinggi(Jenayah) dan Hakim Mahkamah Tinggi (Sivil) sebelum dilantik sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2005. Beliau dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada 2009.

Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 25 Feb 1946, Foong mendirikan rumah tangga dengan Datin Lim Chooi Hoon dan dikurniakan empat anak. Antara kes yang beliau kenalikan ialah saman sivil yang dikemukakan 73 penduduk dua blok kondominium Highland Towers yang terpaksa berpindah setelah blok satu kondominium itu runtuh dan meragut 48 nyawa pada 1993.

Beliau juga mempengerusikan panel lima anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik anggota Exco Kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, yang dijumpai mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor, pada 16 Julai 2009.

Panel itu mendapati kematian Teoh berpunca daripada bunuh diri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain