suria

Pos Malaysia Terbitkan Setem Khas 'Ya Kepada Hidup, Tidak Kepada Dadah'

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Bhd akan mengeluarkan koleksi setem dan filateli bertemakan 'Ya Kepada Hidup, Tidak Kepada Dadah' yang memaparkan tema positif kehidupan bebas daripada penyalahgunaan dadah yang akan dijual kepada umum bermula 27 Febeuari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khalid Abdol Rahman berkata Pos Malaysia sentiasa menyokong usaha positif yang menggalakkan amalan gaya hidup sihat.

"Melalui pengeluaran setem dan barangan filateli, kami percaya ia dapat membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat dan para pelanggan kami secara khusus," katanya pada sidang akhbar di sini, Jumaat.

Ketua Unit Setem dan Filatelinya, Yasmin Ramli berkata pengeluaran setem tersebut adalah hasil kerjasama dengan Pertubuhan Persekutuan Antarabangsa Bukan Kerajaan (IFNGO).

"Setem tersebut direka dengan menggambarkan kehidupan bahagia yang boleh dicapai melalui amalan gaya hidup sihat tanpa pengambilan dan penyalahgunaan dadah," katanya.

Setem-setem berbentuk segi tiga dalam ukuran 64mm x 32mm dengan tiga reka bentuk berbeza dengan dua denominasi, iaitu 60 sen dan RM1, manakala sampul surat hari pertama berharga 50 sen boleh dibeli di pejabat pos seluruh negara.

Folder berharga RM5.50 setiap satu bagaimanapun hanya boleh didapati di pejabat pos terpilih sahaja.

Menurut Yasmin Pos Malaysia menyasarkan pengumpul setem dalam dan luar negara bagi keluaran kali ini yang mana bilangan cetakan adalah terhad dan tidak akan dicetak semula.

Sementara itu, Setiausaha IFNGO Datuk Dr Mustapha Ma berkata IFNGO bermatlamat dalam bekerja bersama sebagai satu pasukan dalam melaksanakan aktiviti pencegahan dan penyalahgunaan dadah untuk mewujudkan satu komuniti yang bebas dadah.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain