suria

Polis Tumpas Kegiatan Edar Dadah Dengan Penahanan Empat Lelaki

JOHOR BAHARU: Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah dipercayai jenis heroin dengan tertangkapnya dua lelaki tempatan dan dua rakyat Myanmar yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di tepi jalan di hadapan Plaza Kota Tinggi, Rabu.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Persona itu ditahan kira-kira pukul 8.20 malam di tepi Jalan Niaga 2, selepas polis bertindak atas satu maklumat.

"Semasa ditahan, keempat-empat mereka berada di luar kereta dengan salah seorangnya memegang satu beg plastik putih mengandungi lima bungkusan kertas akhbar. Pemeriksaan kemudian mendapati, terdapat satu bungkusan plastik lutsinar yang berisi serbuk dan ketulan berwarna coklat yang disyaki heroin di dalam setiap bungkusan terbabit," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, Khamis.

Mohd Mokhtar berkata susulan penahanan mereka yang berumur 26 hingga 40 tahun itu, polis kemudian membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang dan merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave yang dilaporkan hilang pada Oktober 2010, di Jalan Wong Ah Fook, pusat bandar Johor Baharu.

Beliau berkata kesemua dadah dipercayai heroin seberat 2.31 kilogram itu dianggarkan bernilai RM100,000 dan dipercayai untuk dipasarkan ke sekitar daerah Kota Tinggi, Mersing dan Johor Baharu.

Katanya, ujian air kencing terhadap kesemua lelaki berkenaan mendapati salah seorang daripada mereka positif dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah berkaitan dadah. Kesemua mereka kini direman untuk siasatan lanjutnya, katanya.

Dalam kes berasingan, Mohd Mokhtar berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun dan merampas pelbagai jenis dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Bukit Kangkar, Sungai Mati dekat ledang, Jumaat lepas.

Beliau berkata polis yang melakukan pemeriksaan di rumah tersebut pada kira-kira pukul 12.40 tengah hari menemui 697.99 gram dadah dipercayai heroin, 60.07 gram dadah dipercayai syabu, 10 gram dadah dipercayai ganja serta 510 biji pil eramin 5.

"Polis kemudian merampas wang tunai sebanyak RM4,300 dan sebuah alat timbang. Siasatan mempercayai lelaki yang mempunyai empat rekod jenayah itu terlibat dalam aktiviti mengedar dadah di sekitar Ledang dan Muar sejak tahun 1998," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain