suria

Polis Belum Keluarkan Permit Untuk Himpunan Hijau

KUANTAN: Polis belum memutuskan sama ada untuk mengeluarkan permit atau tidak bagi Himpunan Hijau 2.0 yang dirancang diadakan di sini Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusof berkata polis akan mengadakan perjumpaan dengan penganjur esok berhubung perkara itu.

"Kami telah menghantar surat kepada penganjur untuk mengadakan mesyuarat pada hari Rabu lepas tetapi atas sebab-sebab tertentu, perjumpaan itu ditunda esok," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan, Haslinda Hassan, berkata MPK tidak akan mengeluarkan permit kepada penganjur perhimpunan itu di Padang MPK1 sekiranya mereka tidak mendapat kelulusan polis.

Selasa lepas 26 pertubuhan bukan kerajaan dari seluruh Pahang membuat laporan polis membantah perhimpunan itu dengan alasan ia boleh menimbulkan masalah keselamatan dan ketenteraman awam.

Himpunan Hijau 2.0 bertujuan membantah operasi syarikat Lynas Advanced Material Plants yang telah diberikan lesen beroperasi sementara. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain