suria

Hubungan Baik Kerajaan BN Pusat, BN Sarawak Perlu Dikekalkan - Muhyiddin

BINTULU: Kerjasama baik kerajaan Barisan Nasional (BN) Persekutuan dengan kerajaan BN Sarawak, yang diterajui Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menyaksikan negeri ini muncul sebagai antara yang pesat membangun di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata kewujudan kerjasama erat itu membolehkan kerajaan menyusun strategi dengan lebih mudah untuk membangunkan Sarawak, termasuk projek berasaskan gas dan minyak di kawasan Bintulu.

Muhyiddin berkata Sarawak kini berperanan penting dalam menentukan rancangan pembangunan ekonomi negara tercapai, sekaligus membantu Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.

"Hubungan baik ini perlu dikekalkan demi kesinambungan pembangunan ekonomi yang ternyata banyak memberikan faedah kepada rakyat di negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis jamuan malam bersama rakyat di Dewan Suarah Bintulu malam Jumaat.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan akan memastikan tidak ada kawasan atau rakyat di Sarawak yang terpinggir dalam arus perdana pembangunan ekonomi negara. LAGI MUHYIDDIN-BN SARAWAK 2 (AKHIR) BINTULU Katanya, ini selaras dengan wawasan kerajaan melalui program transformasi pembangunan negara yang menekankan penglibatan rakyat dalam semua aspek, termasuk peluang ekonomi.

Muhyiddin berkata walaupun negara maju, termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah seperti Greece, Portugal, Sepanyol dan Itali, dilanda masalah ekonomi yang teruk sejak kebelakangan ini, Malaysia masih berjaya mencatat pertumbuhan ekonomi memberangsangkan iaitu sekitar 5.1 peratus pada tahun lepas.

Beliau yakin pelaburan domestik akan menyumbang ke arah memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi, terutama dalam tempoh 10 tahun akan datang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain