suria

Guru Dipaksa Derma Untuk Sekolah - NUTP

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) pada Jumaat melaporkan sebuah sekolah di Johor telah memaksa guru-guru gred 44 di sekolah itu menyumbang RM50 setahun sebagai dana kewangan sekolah berkenaan.

Presidennya, Hashim Adnan berkata, sehubungan itu wakil guru sekolah di Batu Pahat tersebut telah membuat laporan kepada NUTP Rabu lepas.

Pentabir sekolah dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada 50 guru berkenaan untuk membuat sumbangan berikutan kenaikan gred mereka ke gred tersebut.

"Tujuan kutipan wang tersebut tidak diberikan penjelasan yang lengkap dan kaedah pengumpulan itu hanya tertera kepada guru yang memegang jawatan itu," katanya pada sidang media di sini Jumaat.

Hashim berkata, sebarang kutipan wang dari pihak sekolah, sama ada melibatkan guru atau ibu bapa perlu mengikut prosedur dan mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran.

"Segala urusan pengumpulan wang harus mempunyai persetujuan semua pihak terutamanya bagi yang terlibat dan pihak sekolah perlu mengeluarkan keterangan lengkap berkenaan kegunaan wang itu," katanya.

Hashim turut membangkitkan mengenai aduan daripada guru-guru sebuah sekolah di Senai, Johor yang dipaksa hadir di sekolah 15 minit sebelum pukul 7 pagi, berbeza dengan peraturan biasa yang guru hanya harus berada di kawasan sekolah pada 7.40 pagi atau 7.50 pagi.

"Guru-guru ini terpaksa keluar lebih awal dari rumah untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah atau di rumah penjaga anak sebelum bergegas untuk ke sekolah," katanya.

Beliau berkata, ini secara tidak langsung telah memberi tekanan kepada guru dan menganggu keberkesanan pengajaran mereka di bilik darjah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain