suria

Fomca Gesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia Siasat Aduan Terhadap AirAsia

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menggesa Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengadakan siasatan segera terhadap AirAsia Bhd yang berkemungkinan mengamalkan unsur monopoli dalam perniagaan dan bercanggah dengan Akta Persaingan 2010.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Paul Selva Raj berkata gesaan itu dibuat ekoran aduan yang diterima daripada pengguna berhubung perkhidmatan yang ditawarkan syarikat penerbangan bajet tersebut.

"Fomca meminta agar MyCC mengadakan siasatan segera sekiranya wujud sebarang unsur monopoli dalam perkhidmatan AirAsia kerana sejak berlakunya pertukaran saham antara Malaysian Airline System Berhad (MAS) dan AirAsia, timbul situasi kurang menyenangkan kepada pengguna.

"Pertama, penerbangan FireFly (anak syarikat MAS) ke Sabah dan Sarawak ditamatkan, seterusnya empat penerbangan antarabangsa turut dibatalkan...timbul persoalan kemungkinan wujud persepakatan antara kedua-dua syarikat penerbangan ini yang enggan bersaing kerana mahu meletakkan harga tinggi kepada pengguna," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan surat aduan terhadap AirAsia itu kepada suruhanjaya tersebut di pejabat MyCC di sini, Jumaat.

Selva Raj berkata sikap monopoli perniagaan dan anti persaingan dilihat sebagai amalan tidak berdaya saing kerana tidak mewujudkan persaingan sihat yang sepatutnya berlaku dalam dunia perniagaan.

"Kita bimbang apabila tiada persaingan tiada lagi inisiatif dari syarikat terlibat untuk mengurangkan harga bagi perkhidmatan yang mereka tawarkan, ini juga akan memberi implikasi negatif terhadap pilihan pengguna dan kualiti perkhidmatan.

"Kita (pengguna) perlu faham dengan wujudnya akta persaingan, syarikat akan bersaing dan ini akan memberi kebaikan kepada pengguna agar mendapat perkhidmatan berkualiti pada harga rendah," katanya.

Beliau berkata mana-mana pihak terlibat yang didapati mengamalkan anti persaingan dalam perniagaan mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Persaingan 2010.

Akta Persaingan 2010 yang dikuatkuasakan pada 1 Januari lepas bertujuan memastikan persaingan terus berlaku dalam ekonomi negara dan memelihara kepentingan pengguna.

Selain itu, ia turut memelihara kepentingan pengguna yang berisiko menanggung beban akibat sikap tamak sesetengah syarikat yang mengaut keuntungan tanpa mengamalkan persaingan sewajarnya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain