suria

Badan Kehakiman Buat Laporan Polis Terhadap Imam

PUTRAJAYA: Badan Kehakiman telah membuat laporan polis terhadap seorang imam yang membaling kasut ke arah panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan Rabu lalu semasa prosiding mahkamah berjalan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Jumirah Marjuki telah membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya semalam, menurut Ketua Unit Komunikasi Korporat dan Hubungan Antarabangsa, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Mohd Aizuddin Zolkeply dalam satu kenyataan media di sini, Jumaat.

Beliau berkata badan kehakiman memandang serius terhadap perkara-perkara yang boleh mencemarkan imej institusi kehakiman itu, sama ada melalui sebarang tindakan secara langsung atau tidak, termasuk komen atau kenyataan yang boleh menjatuhkan kredibiliti dan imej institusi itu.

"Pejabat ini (Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan) menyangkal semua tuduhan dibuat oleh seorang imam iaitu Hoslan Hussin, termasuklah dakwaan beliau telah dinafikan hak untuk didengar dengan seadilnya," kata Aizuddin dengan menambah, tuduhan berkenaan adalah tidak berasas.

Beliau berkata pejabat pendaftar mempunyai rakaman setiap pendengaran yang dijalankan di Mahkamah Persekutuan.

Menurut beberapa laporan media, Hoslan telah membaling kasut ke arah panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin selepas panel itu menolak permohonannya untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi memperolehi perintah pengusiran terhadap Hoslan yang enggan keluar dari kuarters yang didiaminya di premis masjid.

MAIWP memohon perintah pengusiran itu terhadap Hoslan, yang merupakan bekas imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di ibu negara sejak 2008, kerana masalah disiplin.

Hoslan memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada 20 Sept tahun lepas, menolak rayuannya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan bantahan awal MAIWP untuk menolak permohonan Hoslan diberi kebenaran untuk mengemukakan rayuan berdasarkan alasan notis usulnya difailkan di luar masa yang ditetapkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain