suria

Unit Bebas Audit Pembinaan Di Lynas

KUALA LUMPUR: Unit pemantau bebas akan dibentuk untuk menjalankan audit pembinaan di kilang penapis nadir bumi Lynas Corporation di Gebeng, Pahang, bagi memastikan ia mematuhi semua standard yang ditetapkan oleh badan profesional dan berkaitan, kata Kerajaan Malaysia.

Ia berkata walaupun Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) mengumumkan keputusannya untuk memberikan Lesen Operasi Sementara (TOL) kepada Lynas (M) Sdn Bhd pada 1 Feb, 2012, kelulusan itu tertakluk kepada lima syarat yang perlu dipenuhi oleh syarikat berkenaan.

Antara syarat itu ialah Lynas perlu mengemukakan butiran pelan dan lokasi kemudahan pelupusan kekal yang dicadangkan bagi mengurus sisa, jika ada, yang dijana oleh kilang itu, kepada AELB.

Maklumat itu perlu dikemukakan dalam tempoh 10 bulan mulai tarikh TOL dikeluarkan.

"Syarat ini mesti dipenuhi tanpa mengira sebarang cadangan alternatif yang dibuat oleh Lynas bagi mengurus atau melupuskan sisa kilang (sebagai contoh, kitar semula, mengubah kepada produk lain yang boleh dijual dan sebagainya)," kata kerajaan menerusi kenyataan bersama empat menteri yang portfolio masing-masing terlibat secara langsung dengan permohonan Lynas untuk mendirikan dan mengurus kilang itu.

Mereka terdiri daripada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamad; Menteri Sains dan Teknologi Datuk Seri Maximus Johnity Ongkili; Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Douglas Uggah Embas; dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Syarat lain ialah Lynas mesti menyediakan deposit keselamatan US$50 juta kepada kerajaan, dengan AELB berhak melantik pakar bebas untuk menilai pematuhan Lynas terhadap syarat keselamatan dan amalan baik.

"Sebarang cadangan pelupusan tetap kemudahan (PDF) oleh Lynas perlu terpencil dan jauh dari kawasan penempatan.

"Semua sisa dan air kumbahan perlu dirawat sepenuhnya mengikut stadard pelepasan dan kilang tidak boleh membuat sebarang pelepasan sisa industri," kata kenyataan itu.

Ia berkata kerajaan akan terus bersikap terbuka dan telus dalam perkara itu. "Kami sudah berbuat demikian sejak peringkat awal, dengan meminta agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memberikan penilaian bebas terhadap situasi, memberi peluang kepada orang ramai membuat ulasan serta maklum balas ketika lawatan IAEA, dan baru-baru ini, dokumen Lynas dipamerkan kepada orang ramai.

"Kami menggalakkan semua pihak melawat kilang Lynas dan Lynas akan memudahkan kunjungan mereka," katanya.

Ia juga berkata kerajaan sentiasa mendengar pandangan awam dan akan terus menangani kebimbangan rakyat. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain