suria

PPKM Nafi Tiada Badan Khusus Jaga Kebajikan Pesara Kerajaan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia (PPKM) menafikan kenyataan Kelab Umno Pesara (Kumpulan Pelaksana) Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) yang mendakwa tiada badan khusus untuk menjaga kebajikan pesara Kerajaan Malaysia.

Presiden PPKM, Datuk Wan Mahmood Pawan Teh berkata, sejak persatuan itu ditubuhkan pada 1972, PPKM sentiasa membela nasib lebih 500,000 pesara kerajaan.

PPKM juga berhubung rapat dengan Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia serta beberapa kementerian lain dan berjaya mendapat banyak kemudahan untuk kebajikan pesara.

"Sebenarnya segala pencen dan imbuhan datangnya daripada Kerajaan Pusat dan persatuan ini memang berhubung rapat dengan Kerajaan Pusat semenjak dahulu lagi dan telah menikmati pelbagai kemudahan untuk para pesara," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau yang mengulas kenyataan akhbar Setiausaha Kehormat (KUPEKMAS), Datuk Abdul Rahman Manan baru-baru ini yang mendakwa jumlah pesara kerajaan kini mencecah 500,000 dan setakat ini tiada badan khusus yang menjaga kebajikan mereka.

Wan Mahmood berkata, antara kemudahan yang dinikmati oleh para pesara adalah pencen terbitan dibayar 100 peratus kepada anggota keluarga gemulah mulai 1 Januari 2009, pemberian wang ihsan/imbuhan dua kali pada tahun 2011 sebanyak RM500 setiap pemberian.

Terbaru, penyelarasan pencen sebanyak tujuh peratus hingga 13 peratus kepada para pesara kerajaan apabila Kerajaan melaksanakan Skim Baru Perkhidmatan Awam berkuat kuasa pada 1 Januari tahun ini dan kenaikan pencen pada kadar dua peratus setahun mulai 2013.

PPKM juga telah mendapat pengiktirafan Kerajaan bahawa apa jua perkara yang berkaitan pencen yang hendak diperjuangkan mestilah melalui PPKM untuk dibawa kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Bahagian Pasca Perkhidmatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain