suria

Polis Tubuh Pasukan Khas Banteras Bookie Bola Sepak

KUALA LUMPUR: Polis telah menubuhkan pasukan khas di setiap negeri dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membanteras aktiviti 'bookie' bola sepak yang semakin berleluasa.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata kerjasama dengan badan induk bola sepak negara itu perlu kerana FAM lebih memahami tindak tanduk serta prestasi pemain bola sepak.

"Malahan FAM mampu memantau dengan lebih telus sekiranya terdapat pemain yang mempunyai cara hidup lebih mewah daripada sepatutnya," katanya ketika ditemui Bernama, di sini, Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai gejala rasuah dalam bola sepak negara apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil beberapa pemain bola sepak Liga Perdana Perlis untuk membantu siasatan berhubung dakwaan tawaran rasuah membabitkan pasukan itu yang kalah 2-7 di tangan MP Muar pada 9 Jan lepas.

Abdul Jalil berkata FAM yang juga panel Jawatankuasa Rasuah dan Disiplin SPRM, dapat memberikan polis lebih maklumat terperinci mengenai kegiatan bookie daripada terus menjadi penyakit dalam industri sukan negara.

Beliau berkata polis turut bekerjasama dengan SPRM dan sedang giat menjalankan risikan bagi mencari dalang atau individu yang terlibat mengatur perlawanan bola sepak.

Sementara itu, Abdul Jalil berkata pada tahun lepas polis menahan 24,962 orang yang terbabit dalam aktiviti perjudian berbanding 20,172 orang pada 2010.

"Seramai 14,523 orang ditahan atas kesalahan berjudi menggunakan mesin komputer, 3,882 orang terbabit dalam kegiatan loteri awam haram, 3,311 orang berjudi dalam bangunan, 2,658 orang berjudi di tempat bebas dan 588 orang sebagai pencatat taruhan haram," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain