suria

Penyelidik Muda Perlu Ada Minda Terbuka - Tun Mahathir

SHAH ALAM: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata para penyelidik muda perlu mempunyai minda terbuka yang sentiasa mahu memperbaiki hasil penyelidikan atau ciptaan mereka dari semasa ke semasa dan tidak mudah berpuas hati dengan pencapaian yang mereka perolehi.

Beliau berkata sebaliknya jika mereka mahupun masyarakat bersikap konservatif, tidak mahu mencuba kaedah atau benda baru maka tidak akan ada perubahan sesuai dengan keadaan semasa di negara ini.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan syarahan perdana 'Transformasi Minda Penyelidik Muda' anjuran Applied Science Post Graduate Society, Universiti Teknologi MARA di sini, Rabu.

Dr Mahathir berkata antara sebab negara Barat menjadi lebih maju dan menghasilkan banyak penemuan dan ciptaan dalam penyelidikan mereka kerana mereka termasuk golongan penyelidik yang mempunyai minda terbuka dan sentiasa ingin memperbaiki ciptaan mereka dari semasa ke semasa.

Katanya negara-negara Eropah pada zaman dahulu cenderung berperang, maka mereka telah memperbaiki asas bahan letupan yang ditemui di China yang pada asalnya digunakan bagi menghasilkan bunyi letupan yang kuat kepada bahan peledak yang boleh melontarkan peluru kepada musuh dalam jarak yang jauh. "Mereka ini (Barat) adalah war like, mereka cipta senjata yang baru untuk beri mereka kemenangan, mereka tidak puas hati dengan senjata yang mereka ada.

"Kemudian, teknologi ledakan ini mereka majukan lagi bagi menghasilkan roket yang dapat menghantar angkasawan ke bulan dan angkasa lepas," katanya.

Begitu juga dengan tangga, di mana tangga kini telah berubah kepada lif yang menggunakan kabel tetapi bagi projek pembinaan bangunan setinggi satu km atau 1.5 km, kabel tidak lagi sesuai dan gear digunakan untuk menaik dan menurunkan lif di dalam bangunan setinggi itu, katanya.

Dr Mahathir juga berkata penyelidik Malaysia perlu juga melakukan penyelidikan dalam bahagian senjata bukan untuk peperangan sebagaimana penyelidik Barat tetapi bagi tujuan pertahanan.

Beliau berkata membangunkan senjata bagi tujuan pertahanan adalah dituntut oleh Islam dan ia merupakan fardhu kifayah.

Selain itu, Dr Mahathir berkata kebanyakan reka cipta di dunia ini dihasilkan oleh penyelidik yang melakukan kajian di negara-negara beriklim sejuk.

Oleh itu, para penyelidik perlu membangunkan produk-produk termasuk ubat yang sesuai bagi pengguna di negara kawasan iklim Tropika, katanya.

Beliau berkata kajian mengenai malaria di Malaysia pada zaman dahulu juga dilakukan oleh penyelidik dari Barat yang menemui malaria disebarkan oleh nyamuk.

Katanya para penyelidik tempatan boleh juga menumpukan kajian mereka terhadap sel tubuh manusia bagi mencari penawar penyakit barah, katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain