suria

Mesin Penjualan Tiket LRT, Monorel Terima Syiling Baru Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Mesin penjualan tiket (TVM) di stesen LRT dan KL Monorail akan mula menerima syiling baru Bank Negara Malaysia (BNM) bulan depan.

Pengarah Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) Bagi Divisyen Rel, Khairani Mohamed berkata, syarikat itu berusaha bertungkus-lumus untuk memastikan syiling baru itu diterima oleh TVM secepat mungkin.

"Kami menerima pemberitahuan daripada BNM mengenai syiling baru itu pada pertengahan tahun lepas, tetapi menerima syiling baru itu bagi kerja-kerja pengubahsuaian pada Disember. Ia kemudian diserahkan segera kepada kontraktor kami untuk menambah baik perisian yang akan dipasang di semua TVM kami," katanya dalam satu kenyataan di sini Rabu.

Rangkaian LRT dan Monorail menggunakan sistem tiket bersepadu Kutipan Tambang Automatik (AFC) di mana tiket dikeluarkan menerusi TVM dalam bentuk token bagi perjalanan sehala atau menambah nilai dalam Kad MyRapid mereka.

Khairani berkata, sementara menunggu perisian baru itu dipasang, pengguna boleh menukar syiling baru di kaunter Prasarana kepada syiling lama untuk mendapatkan tiket mereka daripada TVM.

"Kami ingin memohon maaf berhubung sebarang kesulitan kepada pengguna dan saya amat menggalakkan pengguna supaya menggunakan Kad MyRapid dengan nilai sedia ada bagi perjalanan yang lancar dalam lingkungan rangkaian LRT dan Monorail dan ini akan menghapuskan keperluan untuk menggunakan syiling," katanya.

Bagi wang kertas baru, yang dijadual dikeluarkan oleh Bank Negara pada Jun, mesin TVM akan dapat menerima wang kertas baru menjelang Julai sebaik sahaja siap kerja-kerja pengubahsuaian.

Berdasarkan Sistem Tiket Bersatu AFC, RapidKL mengendalikan 283 TVM yang diletakkan di tempat strategik di dalam 49 stesen LRT dan stesen 11 Monorail.

Sistem Tiket Bersepadu AFC dilaksanakan sepenuhnya dengan rangkaian LRT pada 28 November tahun lepas di mana pengguna hanya perlu menggunakan satu Kad MyRapid untuk melakukan perjalanan bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang bagi keseluruhan perjalanan.

Sistem Tiket Bersepadu itu dijadual diperluaskan untuk meliputi perkhidmatan bas MyRapidKL menjelang suku kedua tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain